Felda United Ketuai Liga Perdana

Share This:

MARAN: Pasukan Felda United FC berjaya merampas kembali kedudukan teratas carta Liga Premier, selepas membenam Pulau Pinang 3-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada Isnin malam.

Skuad kendalian B. Sathianathan membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi penyerang import dari Brazil, Gilberto Valdenesio Fortunato yang menanduk kencang bola ke gawang lawan selepas  menerima hantaran daripada sepakan sudut diambil Ramsay.

Selang lapan minit kemudian, penyerang berusia 30 tahun itu menggandakan jaringan apabila pasukan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti setelah bola terkena tangan pemain pertahanan import Pulau Pinang dari Nigeria, Ugochukwu Ukah dalam kawasan kotak  penalti.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat cuba bangkit dengan melancarkan beberapa serangan bagi merapatkan jurang, namun pertahanan skuad ‘The Fighters’ kebal menyerap asakan.

Sebaliknya pada minit ke-84, Felda United menambah derita pasukan pelawat apabila pemain gantian, Christie Jayaseelan Devasagayam berjaya menambah jaringan menerusi rembatan deras daripada dalam kotak penalti.

Felda United FC kini berada di puncak liga selepas meraih sembilan mata penuh daripada tiga aksi liga setakat ini, diikuti Sabah di tempat kedua dengan tujuh mata, manakala Pulau Pinang berada di tempat ketujuh dengan tiga mata.- Bernama

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*