Sesi Lancar Buku Saksikan Ketuanan Melayu Diperlekeh

Share This:

 

Ketuanan Melayu dikatakan diperlekeh dan dipertikaikan oleh barisan panel yang diundang dalam sesi pelancaran buku karya Abu Bakar (AB) Sulaiman bertajuk “Ketuanan Melayu: A Story of the Thinking Norm of the Malay Political Elite” bertempat di Royal Lake Club, Kuala Lumpur Rabu lalu.

Menurut sumber media, penyokong ketuanan Melayu membuat dakwaan bahawa bangsa Melayu adalah bangsa paling mulia berbanding bangsa lain yang terdapat di Malaysia.

Dan kerana itulah bangsa Melayu memperoleh hak keistimewaan sejak dari dulu. Menurut salah seorang panelis jemputan, Dominic Puthucheary yang merupakan bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, ketuanan Melayu hanyalah satu “mitos” yang digunakan demi kuasa (politik).

“Ketuanan Melayu bukanlah mengenai orang Melayu, tetapi mengenai kuasa status quo, topeng untuk golongan elit politik. Idea bahawa melalui bangsa, anda boleh mendapat kepentingan ekonomi tertentu hanyalah satu mitos.”

Seorang lagi panelis, Syed Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PKR pula mendakwa, konsep ketuanan Melayu sebenarnya bukanlah mengenai hak-hak bangsa Melayu tetapi hanyalah alat politik yang digunakan oleh ahli-ahli elit politik untuk memegang kuasa.

“Ketuanan Melayu digunakan oleh sekumpulan orang yang menikmati kuasa politik dan yang mahu melindungi kuasa (politik) mereka.”

“Ia telah disalahgunakan dan dipromosikan oleh golongan elit politik untuk melindungi kepentingan mereka dengan menggunakan bangsa…dan meletakkan kekangan dan halangan terhadap pembangunan negara ini.”

Tambahnya lagi, ketuanan Melayu merupakan penyebab tercetusnya ketegangan etnik selain merosakkan perpaduan negara. Manakala pengarang buku, Abu Bakar Sulaiman pula mendakwa bahawa ketuanan Melayu mempunyai kecenderungan menjadikan penyokongnya tidak intelektual, konservatif dan pak turut.

“Apabila (konsep ini) dimasukkan dalam pembentukan dasar polisi, ia menggalakkan ketidak adilan sosial, kezaliman dari golongan majoriti…dan membawa kepada keruntuhan institusi-institusi sosial.”

Sejarawan negara Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sebelum ini pernah menegaskan bahawa, “Kedudukan istimewa orang Melayu telah bermula sejak dahulu dan berasaskan sistem kerajaan yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu.

Di Semenanjung, sejak 1895 sudah ada sembilan kerajaan yang kekal sampai ke hari ini.” “Justeru, rakyat khususnya kaum-kaum lain perlu sama-sama menghormati hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan kerana pada ketika ianya digubal dahulu, kaum lain sendiri sudah bersetuju dengan perkara-perkara yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan tersebut.”

 

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*