Lima Tahun Selepas Insiden Tanduo, Keamanan Dan Kedaulatan Masih Mampu Dikekalkan

Share This:

Sekitar lima tahun yang lalu, keheningan pagi di Lahad Datu dan Tawau menjadi sedikit kacau apabila segerombolan tentera pengganas yang diketuai oleh Agbimuddin Kiram, adik kepada Raja yang diperakui Filipina, Sultan Jamalul Kiram III datang mencerobohi perairan Timur Sabah dengan harapan mahu menawan semula wilayah yang kononnya menjadi hak milik mereka sejak sekian lama.

Sasaran mereka bermula di sekitar Kampung Tanduo yang menyaksikan kehadiran mereka menggemparkan penduduk sekitar. Manakan tidak, kehadiran mereka seolah-olah mahu menakluk sekitar kampung berkenaan dengan sikap kejam mereka, telah menimbulkan suasana tegang yang menyaksikan beberapa penduduk kampung melarikan diri dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Pada 12 Februari 2013, inilah hari di mana laporan polis pertama di buat oleh penduduk kampung. Laporan yang dibuat di Balai Polis Cenderawasih, Felda Sahabat inilah yang menjadi titik tolak kehadiran pasukan VAT 69 dan pasukan tentera yang melihat ini sebagai satu pencerobohan terhadap kedaulatan negara.

Sejak dari 12 Februari sehinggalah 28 Februari, pihak kerajaan cuba berunding dengan pihak pengganas untuk berundur dengan cara baik tanpa perlu menumpahkan darah. Namun, hasrat baik kerajaan ini disambut dingin oleh Agbimuddin Kiram yang menyifatkan sebahagian daripada Sabah adalah milik kerajaan Sulu.

Melihat kepada kegagalan rundingan ini, maka Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah memberi lampu hijau buat Kementerian Pertahanan pada 1 Mac 2013 untuk menggempur kedudukan pengganas dan operasi ini di panggil Ops Daulat.

Selama beberapa hari pertempuran berlangsung dengan mengorbankan berpuluh orang pengganas dan 9 orang anggota pasukan keselamatan sehingga pada satu tahap, pihak tentera melaksanakan serangan udara keatas kubu pengganas di Tanduo setelah melaksanakan operasi darat. Inilah operasi menyeluruh pasukan keselamatan negara sejak kali terakhir di lakukan sewaktu menghapuskan pengganas komunis di negara ini.

Lima tahun sudah berlalu dan tidak ada seorangpun penduduk di sekitar Tanduo mahupun Felda Sahabat dapat melupakan detik getir bagaimana kedaulatan negara di cemari dengan kehadiran pengganas Sulu. Seperti satu luka yang terlalu dalam, mungkin luka berkenaan sudah sembuh namun parutnya masih kekal sehingga hari ini.

Sebenarnya, walaupun Agbimuddin Kiram dan Sultan Jamalul Kiram III sudan meninggal dunia, namun kerajaan kekal komited untuk memastikan Pantai Timur Sabah kekal berada dalam keadaan selamat. Oleh yang demikian, kerajaan telah menubuhkan Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE) yang meliputi lebih 1,500 kilometer yang dikawal selia oleh pasukan tentera dan polis secara bergilir-gilir.

Malah, perlaksanaan perintah darurat juga masih dikekalkan di sebahagian Pantai Timur Sabah bagi memastikan keamanan di Sabah kekal terpelihara. Tidak cukup dengan itu, saban tahun, kerajaan memperuntukkan bajet khas untuk ESSZONE bagi memastikan tahap keselamatan di sepanjang zon berkenaan berada pada tahap yang optimum.

Namun begitu, disebalik kesungguhan kerajaan memastikan keadaan keselamatan di Pantai Timur Sabah kekal terpelihara, masih wujud ancaman dari pengganas di Selatan Filipina yang kerap cuba menyeludup masuk dan menculik pelancong di sekitar kepulauan yanga da di Timur Sabah. Tujuan mereka hanya satu, untuk memperolehi wang mudah menerusi aktiviti penculikan dan penyeludupan.

Apa yang pasti, sehingga hari ini, kerajaan tidak pernah melupakan keperluan menjaga kepentingan Pantai Timur Sabah bagi memastikan keselamatan setiap seorang warganya kekal terpelihara. Lima tahun sudah berlalu dan selama lima tahun inilah kita mempelajari, kedaulatan negara bukan satu perkara yang enteng untuk kita serah atau biarkan sesiapa sekalipun mencabulinya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*