Andik Vermansyah Serah Diri

Share This:

PEMAIN import Kedah dari Indonesia, Andik Vermansyah mendedahkan bahawa dia tidak dilamar oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk menyarung jersi skuad hijau kuning pada musim ini.

Sebaliknya, bekas pemain Selangor itu memberitahu, dia sendiri yang mempelawa diri untuk bergelar pemain Kedah kerana minat terhadap pasukan berkenaan.

Andik yang merupakan pemain import kelima Kedah, antara tonggak yang berjaya menghadiahkan kemenangan pertama buat skuad bimbingan Ramon Marcote dengan menewaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Stadium Batu Kawan pada Ahad petang.

Pada penampilan sulung itu, Andik berjaya mengucar-kacirkan pertahanan lawan dengan larian-larian pantasnya selain Akhyar Rashid.

“Saya kagum cara pemain Kedah bermain bola sepak, mereka bersungguh-sungguh untuk memenangi setiap perlawanan. Saya sendiri pernah berdepan mereka dalam dua perlawanan akhir sebelum ini.

“Saya juga jatuh hati dengan ribuan peminat setia pasukan khususnya ketika perlawanan akhir Piala Malaysia kerana mereka sanggup memberi sokongan secara ikhlas dan tidak mengharapkan sebarang balasan kecuali mahu lihat kejayaan pasukan kesayangan mereka dan tidak putus asa ketika kalah.

“Peminat  juga telah mempengaruhi saya untuk memilih Kedah sebagai pasukan yang saya patut beraksi musim 2018 dan saya tidak menyesal dengan keputusan ini kerana pilihan saya juga ikhlas,” katanya kepada mStar Online.

Andik berkata, dia berada dalam keaadaan bersedia untuk membantu Kedah sebaik mungkin ketika ini tanpa sebarang kecederaan.

Jelasnya, ketika berdepan PKNP, Kedah berjaya menguasai permainan dengan banyak peluang di depan gol, namun gagal menepati sasaran untuk mencipta gol.

“Kami akan memperbaiki kelemahan yang ada untuk perlawanan seterusnya selepas ini, saya yakin barisan jurulatih mempunyai perancangan terbaik untuk perlawanan seterusnya,” ujarnya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*