Ekspo Terengganu 2018: ‘Menyampaikan Maklumat Tepat, Hala Tuju Negeri Ini’ -MB Razif

Share This:

Bagi memeriahkan lagi Ekspo Terengganu 2018 yang akan diadakan di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak ,orang ramai dijemput hadir ke ekspo tersebut mulai 25 Februari hingga 3 Mac ini.

Menurut sumber, ekspo yang menggunakan hashtag #terengganumolekdoh itu akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi pada 25 Februari ini. Manakala majlis penutup pula akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak pada 3 Mac ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Razif bin Abd Rahman berkata, ekspo itu diadakan bagi berkongsi serta mempersembahkan kemajuan yang dikecapi Terengganu kepada seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia.

“Ekspo ini merupakan platform bagi Kerajaan Negeri untuk menyampaikan maklumat yang tepat secara langsung, terutamanya berkaitan dengan pencapaian semasanya yang akan meningkatkan keyakinan di kalangan rakyat.

“Ianya akan menjelaskan kepada masyarakat terutamanya generasi muda, ke mana Terengganu akan dibawa dan apakah bentuk masa depan yang bakal dicapai serta cabaran-cabaran yang perlu dilaluinya,” katanya pada Majlis Pra Pelancaran Ekspo Terengganu 2018.

Menurutnya lagi, tiga kluster utama yang akan dipaparkan pada ekspo itu nanti adalah Kluster Kerajaan Negeri, Kluster Daerah serta Kluster Portfolio.

“Kluster Kerajaan Negeri akan menceritakan pencapaian, perancangan dan inisiatif-inisiatif semasa Kerajaan Negeri, manakala Kluster Daerah mengetengahkan pencapaian dan perancangan pembangunan spesifik bagi setiap lapan daerah yang setiap satunya mempunyai keunikan dan potensi yang tersendiri”

“Kluster Portfolio pula dibahagikan kepada 10 portfolio yang dipertanggung jawabkan kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu”

“Kluster ini akan memaparkan tawaran-tawaran, pelbagai insentif, skim-skim bantuan, peluangpeluang pekerjaan, dan banyak lagi perkhidmatan daripada agensi-agensi yang menyertai ekspo ini,” katanya.

Selain aspek pameran, tambahnya pihak penganjur menawarkan pelbagai aktiviti dan programprogram yang menarik sepanjang tujuh hari ianya berlangsung bagi membolehkan para pengunjung mendapatkan maklumat, menikmati perkhidmatan yang ditawarkan, membeli-belah, berhibur, beramal dan bersantai.

“Antara pengisian penting dalam ekspo ini jelasnya, ialah Forum Kerjaya, Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Karnival Jualan IKS dan Majlis Perkahwinan Perdana yang melibatkan lebih 30 pasangan.

“Aktiviti-aktiviti menarik dan santai turut tidak dilupakan, antaranya pertandingan e-sports, dan persembahan Sound of Terengganu serta penampilan artis-artis popular tanahair,” katanya.

Dalam pada itu pihak penganjur juga menawarkan hadiah pengunjung bertuah utama di hari terakhir ekspo yang berupa sebuah rumah, satu lot tanah perumahan, satu lot tanah pertanian, sebuah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda kepada pengunjung-pengunjung bertuah.

“Kita juga tawarkan hadiah-hadiah penganjur bertuah setiap hari yang berbentuk sebuah motosikal, barangan-barangan elektrik dan elektronik kepada para pengunjung, justeru orang ramai tidak harus melepaskan peluang untuk hadir dan menikmati manfaat yang ditawarkan,” katanya.

#TerengganuMolekDoh
#KekalBNTerengganu

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*