Sultan Muhammad V Tarik Balik Gelaran Datuk Husam Musa

Share This:

Sultan Muhammad V menarik balik darjah kebesaran negeri Kelantan membawa gelaran ‘Datuk’ yang dikurniakan kepada Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Husam Musa dan Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Kedua-dua pemimpin politik itu menerima surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat petang semalam yang memaklumkan Sultan Muhammad V menarik balik tauliah pelantikan Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) (Al-Ismaili II).

Memaklumkan perkara itu pada sidang media di sini, hari ini, Wan Abd Rahim berkata: “Menjunjung sebagaimana dititahkan, kami berdua telah mengembalikan ketandaan darjah kebesaran dan surat pelantikan yang berkaitan kepada Pengelola Istana D’Raja Kelantan Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir pada 10 pagi hari ini, di Istana Balai Besar di sini.”

Husam, yang juga Anggota Undangan Negeri Salor, tidak hadir pada sidang media itu. Membacakan kenyataan bersama beliau dan Husam, Wan Abd Rahim berkata alasan darjah kebesaran tersebut ditarik balik tidak dinyatakan dan mereka akur serta menjunjung perintah berkenaan yang berkuatkuasa semalam.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menjunjung kasih dan mengulangi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhamad V,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dikatakan calon kerusi Parlimen Kubang Kerian pada Pilihan Raya Umum ke-14 seperti yang ditular dalam media sosial, Wan Abd Rahim menyifatkan PAS Kelantan ketandusan pemimpin tempatan sekiranya mengambil calon ‘import’ untuk bertanding di negeri ini.

“PAS kata nak ambil alih pentadbiran di Pahang tapi pemain utama cari tempat yang selamat. Bagi Amanah dan Pakatan Harapan Kelantan, kita tidak gentar untuk berhadapan dengannya,” kata beliau.

Baru-baru ini, Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata PAS belum memutuskan sama ada Tuan Ibrahim, anak kelahiran Jerantut, akan bertanding di kerusi Parlimen Kubang Kerian.

Pada PRU13, Tuan Ibrahim yang bertanding kerusi Dewan Undangan Jengka, Pahang tewas kepada Wan Salman Ismail daripada Barisan Nasional-UMNO.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*