Api Misteri Terus Menghantui, Kini Sambar Baldi Berisi Air

Share This:

Api misteri terus menghantui dan membakar barangan di Rumah Teduhan Kasih di Bukit Beruntung, Selangor , kali ini ia ‘menyambar’ beberapa barangan di kediaman itu termasuk sebuah baldi berisi air.

Baldi berkenaan diletakkan di rumah pemulihan penagih dadah yang fungsinya sebagai persediaan sekiranya kejadian kebakaran berulang.

Pengarah Rumah Teduhan Kasih, Jaafar Daud berkata, insiden baldi berisi air terbakar itu berlaku sekitar pukul 5 petang Selasa.

Menurut sumber, sejak kejadian pertama bermula pada 28 Januari lalu, Jaafar mendedahkan bahawa ia adalah kejadian pertama di mana ‘api misteri’ itu membakar baldi berisi air.

“Sejak hari pertama berlaku, dah macam-macam terbakar dan kebanyakannya adalah baju dan kain, selain tilam dan bantal serta kertas. Tapi hari ini baldi berisi air pula yang terbakar.

“Ia berlaku pada petang tadi di ruang tamu di tingkat atas di salah satu unit kediaman dua tingkat di sini,” katanya kepada mStar Online pada lewat petang Selasa.

Jaafar yang juga Pengerusi Jawatangkuasa Perhubungan Pengasih Negeri Selangor berkata, baldi terbakar itu merupakan kejadian misteri yang kelima berlaku pada Selasa.

Beliau menambah, api itu menyambar satu daripada 18 baldi yang diletakkan di beberapa kawasan di dalam dan halaman pusat pemulihan itu dengan masing-masing berisi air.

“Biasanya kami isi air sehingga paras separuh baldi. Tapi anehnya selepas terbakar tak banyak air yang tinggal dalam baldi yang dah hangus itu,” ujar Jaafar.

Jaafar memberitahu, insiden pertama berlaku pada kira-kira pukul 8 pagi Selasa melibatkan sehelai kain yang diletakkan di tembok pagar, diikuti dengan sehelai tuala di bahagian dapur.

“Pada sebelah tengah hari, kain di ampaian pakaian di halaman rumah pula terbakar. Selepas itu, kain pelekat terbakar di almari besi pakaian di tingkat atas rumah.

“Namun apa yang menghairankan adalah kain pelekat tersebut asalnya diletakkan di tepi katil sebelum salah seorang penghuni ke bilik air untuk mandi.

“Tidak pasti bagaimana kain pelekat tersebut boleh berada di almari besi pakaian sebelum terbakar. Tiada siapa yang mengalihkan kain tersebut,” tambahnya.

Dilaporkan, sifat api yang mengganggu itu berbeza dengan api biasa kerana ia bermula dengan bau hangit dan terus marak walaupun tanpa angin malah bahangnya tidak sepanas biasa serta mudah dipadam.

Setakat ini, sembilan pengamal perubatan tampil menawarkan bantuan untuk menyelesaikan masalah itu namun kejadian ‘api misteri’ masih berterusan.

Seramai 45 penghuni lelaki masa kini ditempatkan di dua unit kediaman di pusat pemulihan dadah Rumah Teduhan Kasih yang dibuka di Bukit Beruntung sejak 2015.

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*