PPBM Sudah Terlalu Jauh Tersasar Dari Laluan Asalnya – Anina

Share This:

Pada September 2016, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada ketika itu begitu gah mendakwa bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang ditubuhkan olehnya mampu untuk mengambil alih kedudukan UMNO dalam membela nasib orang Melayu. Malah, dia juga mendakwa, PPBM mampu untuk menjadi sebuah parti yang jauh lebih baik berbanding UMNO.

Sebulan selepas itu, pendaftaran parti berkenaan di luluskan dengan nama-nama seperti Tun Dr Mahathir, Muhyiddin, Datuk Seri Mukhriz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Akramsyah, Kamarulazman dan Anina Saaduddin antara nama-nama awal yang bertanggungjawab menubuhkan parti serpihan UMNO ini. Bermula dari merekalah, PPBM mula bergerak dalam usaha menumbangkan UMNO dan seterusnya menjadi parti alternatif buat kaum Melayu.

Diharapkan panas sampai kepetang, rupanya hujan ditengah hari. Siapa sangka, PPBM yang pada awalnya begitu gah mengumumkan kekuatan mereka, mula bergolak dan lebih teruk lagi, individu yang mengetuai sayap wanita parti berkenaan, Anina Saaduddin mula mahu disingkirkan. Ada sahaja berita yang mengaitkan Ketua Srikandi PPBM ini dengan pelbagai isu sehinggakan Anina dipaliti dengan isu skandal seks.

Bermula dari sinilah karier politiknya merudum dan PPBM sendiri terbahagi kepada dua kem, Pro Mahathir dan mereka yang kecewa dengan cara Mahathir menguruskan parti. Keluar sahaja Anina dari PPBM, langkahnya diikuti oleh Datuk Hamidah dan Kamarulazman Habibur Rahman yang masing-masing sudah hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan PPBM.

Pada satu kesempatan, penulis sempat menemubual Anina yang kini bergiat aktkif dalam sebuah NGO yang diberinama Empirical Malaysia, satu NGO yang mengangkat masalah-masalah rakyat dan mencari alternatif untuk menyelesaikannya. Berikut adalah hasil temubual yang dilakukan penulis dengan Anina sebentar tadi.

Soalan : Sebagai salah seorang co founder PPBM, adakah Anina merasakan satu kerugian mengorbankan keahlian UMNO yang dipegang selama 22 tahun dan kemudiannya dikhianati oleh PPBM itu sendiri?

Anina Saaduddin (AS) : Saya tidak pernah menyesali sejarah perjuangan politik saya kerana saya banyak belajar darinya. Namun, saya dapati, semakin banyak perpecahan yang wujud dikalangan kaum Melayu itu sendiri hasil munculnya parti politik penuh dendam dan kebencian seumpama ini. Justeru, saya terpanggil untuk kembali memperbetulkan kerosakan yang telah timbul akibat cara berpoltik seperti ini.

S : Tun Dr Mahathir yang Anina kenal sebelum dan selepas penubuhan PPBM, adakah dia masih orang yang sama pada kacamata Anina?

AS : Saya membesar dalam era pemerintahan Tun Dr Mahathir. Boleh saya ibaratkan seperti seorang anak muda yang telah didoktrinkan oleh pemikiran Mahathir dalam segala aspek. Pada mulanya, sewaktu penentangan Mahathir terhadap Datuk Seri Mohd Najib bermula, saya memandangnya sebagai pemimpin suci dan ikhlas dalam perjuangannya.

Namun, setelah saya berada di dalam PPBM, saya menyedari bahawa Mahathir hanya manusia biasa yang banyak kelebihan dan kelemahan. Saya sudah berada di dalam kepimpinan tertinggi parti dan melihat dengan mata saya sendiri perjalanan parti dan dari situlah saya mengambil keputusan tidak lagi boleh menyokong apa sahaja keputusan Mahathir.

S : Adakah kerjasama Mahathir – Lim Kit Siang antara sebab utama Anina meninggalkan PPBM?

AS : Untuk soalan ini, suka saya imbau semula peringkat awal penubuhan PPBM. Pada awalnya, PPBM menyasarkan untuk menjadi parti yang dominan di dalam Pakatan Harapan. Namun, hari demi hari, saya mula melihat PPBM lebih menjaga hati DAP yang diterajui oleh Lim Kit Siang daripada agenda sebenar penubuhan parti ini.

Paling sukar untuk saya terima adalah, kerjasama ini lebih menjurus kearah pembentukan sebuah kerajaan yang lebih liberal dan saya percaya, PPBM sudah meninggalkan agenda memperjuangkan nasib kaum Melayu dan lebih akur dan tunduk kepada DAP. Oleh yang demikian, saya merasakan, sudah tiba masanya saya meninggalkan PPBM yang satu ketika dahulu cukup saya yakini prinsip penubuhannya.

S : Setahun tertubuhnya PPBM, adakah Anina bersetuju dengan saya bahawa PPBM kerap kali melanggar Perlembagaan partinya sendiri?

AS : Apa yang boleh saya rangkumkan adalah, PPBM ditubuhkan dengan ketergesaan dan framework perlembagaan yang tidak jelas dan mantap. Penasihat undang-undang parti juga tidak mempunyai pengalaman dalam pengurusan sesebuah parti politik. Malah, mereka juga gagal dalam memberikan khidmat nasihat yang berguna untuk parti.

Apa yang boleh saya sahkan di sini adalah, memang berlaku terlalu banyak perlanggaran perlembagaan parti yang telah dilakukan oleh kepimpinan parti. Mungkin disebabkan perlembagaan berkenaan boleh dikatakan ditiru bulat-bulat dari perlembagaan UMNO dan kepimpinan parti itu sendiri tidak memahami sepenuhnya perlembagaan yang mereka sendiri tetapkan.

S : Adakah Anina merasakan, PPBM akan mampu memenangi lebih daripada 10 kerusi Parlimen yang mereka tandingi atau mampu membentuk sebuah kerajaan seperti yang mereka war-warkan kepada umum?

AS : Umum sedia maklum bahawa PPBM akan bertanding di semua kerusi yang ditandingi oleh UMNO (walaupun tidak keseluruhannya). Ingin saya tanyakan semula kepada seluruh rakyat Malaysia. Adakah sebuah parti yang mempunyai ahli tidak sampai 100 ribu orang mampu menakluk sebuah negara seperti Malaysia?

Semua pihak harus faham, kekuatan PPBM hanya tetumpu kepada Mahathir seorang, bukannya Muhyiddin mahupun Mukhriz. Malah, sepanjang saya mengetuai Empirical Malaysia, banyak respon yang saya terima dari rakyat yang mahukan pemimpin muda yang mempunyai pandangan yang jauh dan mampu untuk bekerja lebih baik berbanding pemimpin vateran yang ada pada hari ini.

Justeru, saya tidak nampak bagaimana rakyat boleh menerima seorang Perdana Menteri yang berusia 93 tahun untuk menerajui negara. Malah, saya juga ada menyimpan rekod respon rakyat yang pernah menyokong perjuangan Mahathir yang cukup kecewa apabila PPBM menjalinkan kerjasama erat dengan DAP begitu juga hubungan erat antara Mahathir dan Lim Kit Siang.

Apa yang saya lihat, ada kemungkinan tujuan asal penubuhan PPBM akan tersasar dan sasaran mereka kononnya mahu memenangi semua 52 kerusi yang mereka tandingi, adalah angan-angan kosong semata-mata. Mungkin mereka boleh mendapat 10 kerusi Parlimen, namun dari pemerhatian saya, PPBM tidak mungkin mampu mencecah angka 10 kerusi Parlimen disebabkan sentimen rakyat yang menolak kerjasama PPBM – DAP dan Mahathir – Lim Kit Siang.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*