Jika PM Korup, Mustahil Projek Boleh Siap 17 Bulan Lebih Awal

Share This:

Jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terbukti secara undang-undang korup dan amalkan rasuah mana mungkin banyak projek pembangunan di negara ini tidak boleh disiapkan lebih awal dek kerana bermacam-macam masalah.

Bagaimanapun, sekarang banyak projek boleh siap lebih awal dari jadual asal. Sesuatu yang amat jarang berlaku ketika Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri.

Pertamanya, projek MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) siap 16 hari lebih awal. Kali ini, Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) Bukit Jalil siap 17 bulan lebih awal. Ia adalah projek pertama seumpamanya yang dibina tanpa guna sesen duit kerajaan hasil pelaksanaan konsep kaedah subsidi bersilang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata menerusi konsep itu, pemaju membangunkan perumahan itu untuk kerajaan dan dibenarkan membangunkan pula projek perumahan di tanah bersebelahan yang akan dijual pada harga pasaran kepada orang awam.

“Kaedah subsidi bersilang ini dilaksanakan secara 60:40 iaitu 60 peratus dengan keluasan 7.67 ekar (3.068 hektar) dibangunkan untuk projek PPA1M yang dikawal kerajaan dari segi harga, keluasan dan juga kualiti.

“Manakala 40 peratus lagi iaitu dengan keluasan 5.11 ekar (2.044 hektar ) dibenarkan kepada pemaju untuk membina perumahan pada harga pasaran semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan 1,536 kunci rumah kepada penjawat awam bagi projek PPA1M Bukit Jalil hari ini.

Najib menarik perhatian, kejayaan menyiapkan projek PPA1M Bukit Jalil , projek PPA1M tertinggi di Malaysia dengan bangunan dua blok 41 tingkat itu menepati dasar dan agenda kerajaan demi kesenangan rakyat dan pembangunan negara.

“Alhamdulillah, melalui konsep ini juga, ia dapat menjimatkan duit kerajaan. Harap inisiatif yang sama diteruskan kerajaan pada masa depan,” katanya.

Beliau menarik perhatian, sehingga kini, sejumlah 135,456 unit (433 projek) PPA1M daripada 200,000 unit yang disasarkan, telah diluluskan kerajaan untuk dimanfaatkan penjawat awam yang berkelayakan.

“Saya difahamkan, sebanyak 43,993 unit PPA1M (seluruh negara) telah ditawarkan kepada penjawat awam,? katanya yang yakin, baki unit PPA1M belum disiap, akan dilaksanakan kerajaan dalam masa berperingkat.

Jelasnya, projek PPA1M ini merupakan pengiktirafan kepada penjawat awam yang menjadi tunjang dan tulang belakang kerajaan yang perlu dihargai dan tidak diabaikan.

“Sebab itulah wujudnya PPA1M. Kita bukan sahaja sediakan rumah murah daripada harga pasaran, malah ia akan menjadi aset peribadi tambahan kepada pemohon yang boleh mengaut untung melalui projek ini.

“Bayangkan , rumah PPA1M Bukit Jalil cuma RM150,000 hingga RM300,000 berbanding RM500,000 ke atas mengikut harga pasaran.

“Ini secara tidak langsung membantu kerajaan melakukan penjimatan yang amat besar dan pada masa memberikan manfaat kepada semua penjawat awam,” tambah Najib.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*