DAP Terperangkap Angkara Mahathir

Share This:

Tidak pernah ada sesiapa menyangka bahawa DAP menerusi Lim Kit Siang akhirnya akan bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam blok pembangkang. Manakan tidak, sepanjang Mahathir berkuasa selama 22 tahun, Lim Kit Siang dan DAP adalah musuh ketat yang seringkali menimbulkan ketegangan politik di antara mereka.

Bermula tahun 2014, Mahathir telah memulakan langkah untuk menyerang kerajaan walaupun pada ketika itu ramai dikalangan pemimpin pembangkang memandang sinis tindak tanduk Mahathir. Sehinggalah pada tahun lalu, akhirnya Majlis Presiden Pakatan Harapan membuka pintu seluas-luasnya buat Mahathir dan PPBM menyertai mereka. Persoalannya, adakah Mahathir benar-benar membawa impak positif terhadap Pakatan Harapan?

Pada awalnya, kemasukan Mahathir kedalam Pakatan Harapan sememangnya disambut penuh kesyukuran oleh Pakatan Harapan. Manakan tidak, mereka menganggap, pengalaman Mahathir menguruskan negara disamping pernah menjadi ahli UMNO dan Presiden parti itu sendiri akan memberi kelebihan kepada mereka dalam usaha untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional.

Namun, hari demi hari, tindak tanduk Mahathir sudah mula kembali kearah sikap sebenarnya semasa menerajui negara satu ketika dahulu. Semua perkara harus selaras dengan kehendaknya dan sekiranya ia tidak menepati kehendaknya, Mahathir tidak akan teragak-agak untuk meminggirkan mereka yang tidak selari dengan kemahuannya.

Lebih memburukkan keadaan, Mahathir langsung tidak mengambil peduli apa sahaja suara bantahan dari para penyokong tegar Pakatan Harapan. Sehinggakan, suara Otai Reformis, gerakan yang selama ini menjadi penyokong kuat PKR juga sanggup diketepikan oleh Mahathir begitu sahaja.

Melihat kepada keadaan semasa ini, nampaknya, antara mereka yang benar-benar terperangkap dalam usaha melentur atau menjinakkan Mahathir adalah DAP dan Lim Kit Siang. DAP dan Lim Kit Sianglah yang beriya-iya mahu membawa Mahahtir menyertai blok pembangkang walaupun mereka menyedari, Mahathir bukanlah seorang yang boleh dijinakkan begitu sahaja.

Mungkin pada luarannya kita lihat, Lim Kit Siang selalu bersama Mahathir dalam kebanyakan program yang diaturkan oleh Pakatan Harapan. Hakikatnya, kelibat Mahathir kini amat tidak disenangi oleh sebahagian besar para penyokong Pakatan Harapan. Sehinggakan wujud usaha untuk membuat undi rosak pada Pilihan Raya Umum ke 14 kelak hanya semata-mata menunjukkan protes terhadap Mahathir.

Bukankah ini telah merugikan DAP, PKR dan PAN yang umum sedia maklum begitu berusaha keras mahu merampas Putrajaya darri tangan BN menerusi undi dari kalangan penyokong dan rakyat? Nampaknya, DAP benar-benar tersilap langkah kali ini. Jangkaan mereka, Mahathir boleh mereka jinakkan dan dipergunakan dengan mudah namun hari ini, Mahathir nampaknya sedikit demi sedikit melenyapkan pengaruh DAP dari Pakatan Harapan.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*