Cadangan Kurang Kadar Levi, Tol Di Linkedua Ke Kabinet Esok

Share This:

Cadangan pengurangan kadar levi dan tol bagi kenderaan perdagangan di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pengurangan kadar tol dan levi itu bertujuan menarik lebih banyak kenderaan perdagangan menggunakan Linkedua yang seterusnya mengurangkan kesesakan trafik di Tambak Johor.

“Usaha ini dijangka dapat mengurangkan sehingga 40 peratus kenderaan perdagangan di Tambak Johor,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Isu Kesesakan di Tambak Johor dan Linkedua di Putrajaya, hari ini.

Kadar levi bagi kenderaan perdagangan di Linkedua sekarang ialah RM200.

Menurut Ahmad Zahid, pergerakan individu keluar masuk melalui jalan darat Malaysia-Singapura ketika ini adalah antara 300,000 hingga 400,000 orang pada setiap hari dan meningkat kepada lebih 500,000 pada musim perayaan.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat hari ini turut memutuskan untuk membuat permohonan kepada Kabinet supaya jawatankuasa itu dinaik taraf kepada badan bertindak khas bagi menyelesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor dalam jangka panjang.

Menurut Ahmad Zahid, jawatankuasa itu turut mencadangkan kerajaan Singapura menubuhkan badan bertindak khas yang sama supaya mesyuarat berkala antara kedua-dua pihak dapat dijalankan.

Mesyuarat itu diadakan susulan keputusan yang dicapai dalam Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura antara Najib dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada Januari lepas, antara lain membangkitkan isu kesesakan di Tambak Johor.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dalam pada itu berkata kira-kira 150 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan di tempatkan di kedua-dua pintu masuk negara itu menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina pada 16 Feb ini bagi membantu pihak polis menyuraikan trafik.

Selain itu, katanya penaiktarafan kemudahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) akan dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah kesesakan itu.

Mengenai aspek keselamatan, Ahmad Zahid berkata aset dan peralatan keselamatan seperti alat pengimbas di Tambak Johor dan Linkedua akan turut dinaik taraf terutamanya bagi mengenal pasti suspek dalam senarai Interpol, Aseanapol dan Polis Diraja Malaysia.

“Jika aset dan peralatan ini boleh dimasukkan dalam penyelesaian holistik, kita dapat menyelesaikan soal kesesakan, infrastruktur dan keselamatan antara Malaysia dan Singapura,” katanya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*