Kejayaan Buka Tanah Rancangan FELDA Simbolik Kekuatan Kerajaan

Share This:

Kejayaan membuka tanah rancangan FELDA sejak tahun 1958 bukan hanya bertujuan menjana pendapatan peneroka tetapi ia juga adalah satu simbolik kepada kekuatan politik kerajaan sekarang ini.

Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata untuk memastikan kelangsungan FELDA dalam membela nasib peneroka terus hidup, komuniti itu wajib mempertahankan dan merealisasikan impian bekas Perdana Menteri ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

“Felda ini bukan sahaja tempat kita cari rezeki, tetapi Felda ini juga merupakan tanah subur kekuatan politik kerajaan yang ada pada hari ini

“Pastikan pilihan raya pada kali ini semua orang turun Felda menggambarkan kekuatan kita, menterjemahkan impian Tun Razak itu menjadi kenyataan kita bersama.

“Generasi baharu dan peneroka Felda, marilah kita bersatu padu, bersungguh-sungguh jadikan Felda ini sebagai benteng dan legasi kita, serta maruah dan tanggungjawab kita.

“Marilah sama-sama kita berjuang pastikan impian Allahyarham Tun Razak itu tercapai,” katanya ketika melancarkan FELDA 2.0 di Felda Lurah Bilut, semalam.

Inisiatif FELDA 2.0 itu adalah selaras dengan pesanan arwah bapanya itu di mana pembangunan negara berterusan boleh mempertahankan kedaulatan negara.

“Saya masih ingat lagi satu pesanan Allahyarham ayahanda saya iaitu kedaulatan negara kita bukan saja terjamin melalui sistem pertahanan yang kukuh.

“Tapi lebih bermakna lagi, lebih terselamat lagi soal kedaulatan negara kita jika didasari kepada pembangunan yang menyeluruh,” jelasnya.

Najib turut menegaskan, program transformasi untuk menjadikan Lurat Bilut sebagai bandar pintar perlu dipastikan menjadi kenyataan dengan penglibatan daripada semua pihak khususnya masyarakat peneroka.

“Sebab itu kita kena pastikan program seperti pembangunan Lurah Bilut tidak boleh gagal sama sekali.

“Ini kerana berputiknya konsep dan gagasan Felda, segala-galanya bermula di sini, di tapak Lurah Bilut gagasan Felda bermula dan menjadi gagasan yang paling berjaya dalam pembangunan reformasi tanah di seluruh dunia.

“Kalau Felda 1.0 bermula di sini, maka sewajarnya Felda 2.0 juga bermula di sini di mana kita bawa kemajuan terkini menjadikan komuniti ini pintar, bestari dan lestari dari segi pembangunan,” katanya.

Tambah Najib, Felda juga boleh dipertahankan dengan memastikan semangat penerokaan tidak pupus ditelan zaman dan perlu disemai dan diwarisi kepada generasi akan datang.

“Saya harap tidak akan pupus, tidak akan tenggelam, tidak akan dilupakan oleh kita sama ada kita generasi kedua, ketiga atau keempat.

“Inilah bekalan untuk kita berjaya, mungkin tidak lagi sebagai seorang peneroka, mungkin sebagai seorang usahawan dalam bidang E-Dagang, nak eksport produk kita misalnya ke negara China.

“Jangan lupa bahawa ini semua bukan perjuangan kerajaan sahaja tapi usaha datuk nenek kita. Saya harap semangat penerokaan ini akan hidup membara menjadi pegangan kita sehinggalah pada hari ini,” katanya lagi.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*