Thaipusam Diharap Rapatkan Jalinan Perpaduan Kaum Di Malaysia

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap sambutan perayaan Thaipusam esok akan merapatkan jalinan perpaduan antara kaum di Malaysia.

“Hari Thaipusam merupakan keindahan masyarakat majmuk di Malaysia di mana setiap agama dan budaya tumbuh subur dan mekar tanpa sebarang sekatan.

“Hak kebebasan beragama terjamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Tradisi mengekalkan budaya ini adalah atas muafakat pemimpin pelbagai kaum yang berkongsi kuasa di bawah kerajaan Barisan Nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, kerajaan akan terus komited membangunkan aspek ekonomi, pendidikan dan struktur sosial masyarakat India di negara ini supaya mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lain.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri juga berkata sambutan Thaipusam di Batu Caves adalah yang terbesar sehingga Batu Caves disinonimkan seperti ‘mini India’ di mana ia dibanjiri oleh ratusan ribu penganut agama Hindu dari seluruh dunia.

“Batu Caves kini menjadi ikonik pelancongan peringkat antarabangsa. Ia juga menjadi ‘lubuk rezeki’ kepada para peniaga untuk membuka gerai menjual makanan, minuman, bunga, cenderahati, pakaian dan aksesori bagi menambah kemeriahan sambutan Thaipusam,” katanya.

Oleh itu, pasukan keselamatan turut bersiap-siaga untuk berkawal dan menjaga keselamatan awam sepanjang sambutan esok.

Ahmad Zahid berkata beliau telah memberikan arahan supaya pasukan keselamatan berkawal bagi menjamin keselamatan awam.

Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut pada bulan ‘Thai’ iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Thaipusam kepada seluruh masyarakat Hindu di Malaysia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *