#PRU14 : Kalau Menang, Pembangkang Akan Berebut Jawatan Menteri Pula

Sebelum ini, parti PPBM di peringkat negeri tidak puas hati dengan kepimpinan parti kerana kegagalan parti adakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) biarpun selepas setahun penubuhan parti, kali ini lain pula ceritanya. Mereka tidak puas hati kerana pengagihan kerusi untuk PPBM di peringkat negeri tidak adil.

Ahad lepas, PPBM di Negeri Sembilan tidak berpuas hati dengan kerusi yang diberikan kepada parti itu iaitu hanya enam kerusi dari 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Sebanyak 12 kerusi diberikan kepada PKR, 11 kerusi kepada DAP, PAN diberikan 7 kerusi dan selebihnya diperolehi oleh PPBM.

Presiden Pakatan Harapan (PH) Dr Wan Azizah Wan Ismail jadi mangsa selepas mereka yang tidak puas hati melaungkan kata-kata “Tidak adil!” selepas beliau selesai berucap.

Difahamkan, PPBM terpaksa akur dengan DAP kerana mereka ada 11 kerusi kurang 1 kerusi dari PKR dan ini membangkitkan kemarahan ahli parti.

Pada 7 Januari lepas, Parti Amanah (PAN) pula ambil tindakan boikot Konvensyen PH di Shah Alam kerana berang dengan pengagihan kerusi di kawasan Parlimen di Johor. PAN Johor minta untuk bertanding di lima kerusi Parlimen tetapi hanya diberikan dua iaitu Parit Sulong dan Pulai.

Sekarang ini mereka sudah menunjukkan kesukaran hendak sepakat dalam bab pengagihan kerusi kerana terpaksa akur dengan kata-kata DAP dalam pemberian kerusi tetapi dalam hati masih juga hendak berebut walaupun tarikh PRU14 masih lagi misteri.

Pemimpin pembangkang juga suka melompat-lompat kawasan untuk bertanding berpindah kerana mahu dapatkan sokongan pengundi tapi tidak mahu bekerja keras. Perbuatan seperti ini menyebabkan pasti ada mereka yang terpaksa melepaskan kerusi milik mereka kepada pemimpin berkenaan sekaligus menyemarakkan lagi konflik dalaman parti dalam PH.

Dr Wan Azizah yang sekarang jadi wakil rakyat di Permatang Pauh akan bertanding pula di Parlimen Bandar Tun Razak pada PRU14 meninggalkan penduduk di Pulau Pinang terbiar begitu sahaja.

Jika PH menang pada PRU14, satu perkara yang pasti terjadi ialah mereka akan berebut jawatan Menteri pula sesama sendiri. Kalau diikutkan banyak jawatan Menteri yang memegang portfolio penting akan dimonopoli oleh Ahli Parlimen DAP nanti.

Bagi wakil rakyat Melayu, mungkin DAP akan berkompromi dan memberikan portfolio berkaitan pertanian, hal ehwal agama Islam dan juga portfolio yang kurang penting.

Sebab itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dua hari lepas kata PH tidak perlu umumkan kabinet bayangan sebelum PRU14. Ini adalah kenyataan yang menunjukkan beliau takut jika ada kabinet bayangan, ramai pemimpin akan jadi tidak berpuas hati melihat pengagihan jawatan portfolio dan ia akan mencetuskan lagi masalah.

“Harapan akan mementukan bilakah waktu yang sesuai untuk mengumumkan kabinet bayangan.

“Apa-apa pun, parti yang menang yang akan memutuskan kedudukan yang akan diisi (dalam kabinet),” katanya kepada media di ceramah “100 hari untuk ke Putrajaya” di Gelang Patah.

Dengan kes rasuah sudah bertambah, dari kes banglo kepada kes skandal terowong dasar laut, Guan Eng pun bimbang mahu letak dirinya sendiri di portfolio apa kerana beliau sebagai pemimpin tertinggi dalam DAP sudah pasti perlu ada jawatan dalam kabinet.

Pemimpin seperti Muhyiddin, Presiden PAN, Mohamad Sabu dan juga Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli juga sudah pasti mahu jadi Menteri juga.

Dari mereka berebut hendak bertanding di mana, selepas menang nanti berebut pula hendak jadi Menteri. Rakyat dan pengundi tetap jadi mangsa diperbodohkan oleh mainan politik mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *