Penjawat Awam Cedera Gara-gara Menurunkan Bendera

Dua penjawat awam termasuk Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) cedera gara-gara menurunkan bendera dipasang tanpa permit.

Harian Metro melaporkan, mereka diserang lelaki tidak dikenali ketika menjalankan operasi itu di Lembah Sireh, Kota Bharu, kira-kira 8.45 pagi kelmarin.

Akibat serangan itu, Nik Mohamed Noor Nik Ishak, 57, cedera di dahi manakala Pembantu Tadbir MPKB-BRI Hanapi Salleh, 50, cedera di telinga kiri.

Sebelum kejadian, Nik Mohamed Noor bersama tujuh anggotanya menjalankan operasi mengambil bendera dipacak di kawasan larangan dan tidak mempunyai permit.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba kami didatangi tiga lelaki dalam keadaan marah sebelum salah seorang daripada mereka merampas kayu bendera dan terus memukul seorang anggota di telinga kiri, manakala saya ditumbuk di dahi.

“Selepas kejadian itu, saya dan anggota yang cedera dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan dan mendapatkan rawatan pesakit luar”Saya kesal dengan perbuatan individu terbabit kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Kes ini, saya serahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, hingga kini masih tiada tangkapan dibuat.

“Kes kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *