Lupakan Hal Umur – Shukor Adan

KUALA LUMPUR: Kapten Felda United, Muhammad Shukor Adan mengakui umur bukan penghalang untuk terus mencurahkan bakti kepada kelab yang diwakilinya.

Bekas pemain pertahanan kebangsaan ini bakal menyambut kelahiran ke-39 pada September depan dan dianggap pemain paling senior dalam skuad kendalian Liga Perdana, B.Sathianathan.

“Walaupun sudah berumur 39 tahun, saya masih diberi keizinan oleh-Nya untuk terus berlari. Jadi lupakan fasal umur.

“Yang penting sekarang misi yang telah ditetapkan oleh persatuan supaya melangkah balik ke Liga Super tahun depan.

“Malah kita mesti menjuarai salah satu piala sama ada Piala FA atau Piala Malaysia,” ujar pemain kelahiran Melaka ini.

Mengenai cabaran Liga Perdana musim ini, Shukor yang telah menyarung jersi Felda United sejak 2014 mengakui ia bukan tugas mudah.

“Semua pasukan adalah kuat dan bagi saya setiap pasukan akan berusaha lebih untuk menewaskan Felda United.

“Tahun ini bukan mudah. Kami kena beri 100 peratus atau 300 peratus untuk saingan musim ini.

“Dan kami juga tidak memandang rendah kepada setiap perlawanan yang dilalui. Kami anggap semua pasukan adalah kuat seperti dalam Liga Super,” tambahnya.

Jelas Shukor, dia gembira kerana jurulatih mempunyai ramuan tersendiri untuk memantapkan skuadnya.

“Adunan pemain baharu yang berkualiti sejak musim lalu menjadikan kami lebih yakin untuk beraksi.

“Malah pemain-pemain baharu juga menunjukkan azam yang tinggi untuk mengembalikan kelab ke Liga Super tahun depan,” kata Shukor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *