Michelle Yeoh Puji Usaha PM Bantu, Perjuang Isu Rohingya

Duta Muhibbah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) yang juga Seniwati Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia kerana berusaha membantu pelarian Rohingya, termasuk memperjuangkan nasib mereka.

Menurut sumber, beliau berkata Najib dan Malaysia melaksanakan usaha mengagumkan berhubung perkara itu dan sebagai negara berjiran, Malaysia amat perlu membantu masyarakat Rohingya yang mengalami penderitaan dan penindasan di Myanmar.

“Kami amat bangga dengan hakikat bahawa beliau adalah orang yang mula-mula sekali memperjuangkan perkara itu sebagai jiran yang baik dan melakukan perkara yang tepat sebagai manusia.

PM kita mempamerkan ciri kepimpinan yang sungguh hebat bersama-sama kerajaan Bangladesh serta rakan kita di (Arab) Saudi dan UAE (Emiriyah Arab Bersatu),” kata Yeoh kepada pemberita semasa melakukan lawatan ke kawasan pelarian Rohingya di sini pada Sabtu.

Yeoh adalah antara anggota delegasi khas Malaysia ke Cox’s Bazar yang diketuai Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohammed Noor. Rombongan itu melawat Hospital Medan Malaysia yang memulakan operasinya pada 31 Nov lepas dan kem pelarian Balukhali, yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari hospital itu.

Yeoh berkata pemergian delegasi itu adalah mewakili Najib dan akan mengemukakan laporannya kepada beliau sebaik sahaja mereka pulang ke tanah air.

“Kedatangan kami ke sini sangat penting…kerana apa yang dialami orang Rohingya sungguh menyedihkan dan amat tragik. Ia tidak boleh dibiarkan. Setiap daripada mereka patut menikmati hak asasi manusia seperti yang sewajarnya diberi kepada mereka.

Mereka begitu terdesak hingga terpaksa meninggalkan kampung halaman dan menjalani kehidupan dalam keadaan begini. Kami akan cuba mengetengahkan masalah ini,” katanya.

Menurut Yeoh, beliau dimaklumkan bahawa 1.2 juta anggota masyarakat Rohingya tersingkir dari tanah air mereka dan dunia perlu berganding bahu untuk membantu mereka.

“Mereka tidak mempunyai rumah dan tempat untuk dituju. Mengapakah mereka takut untuk pulang? Perdana Menteri kita menghantar kami melalui misi ini.

“Pandanglah semua muka mereka di sini (pelarian), perhatikanlah keadaan mereka. Mereka sedang berhempas-pulas untuk terus hidup. Saya rasa penjagaan terbaik ialah dengan mengadakan untuk mereka kemudahan sanitasi, air bersih.

“Malam yang indah, tak ada hujan monsun, keadaan mereka lebih baik sedikit, tetapi ini bukanlah keadaan yang ingin dilalui seseorang setiap hari sepanjang hayatnya.

Semua kerja keras ini amat perlu diteruskan. Penghormatan tertinggi saya kepada semua NGO, Pertubuhan Bangsa Bersatu, Palang Merah dan semua yang ada di sini.

“Inilah caranya untuk anda menunjukkan kepada orang Rohingya bahawa mereka mempunyai harapan sebab kita mengambil peduli dan boleh membantu mereka untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik…itulah juga mesej daripada PM kami.

“Kami semua akan berganding bahu untuk mencipta masa depan dan dunia yang lebih sejahtera untuk masyarakat Rohingya,” kata beliau.

Yeoh berkata Najib juga menyampaikan ucapan terima kasih beliau yang tulus ikhlas kepada semua wira Malaysia yang keluar masuk ke hospital medan di sini.

“ Ia baru saja bermula dan mereka melaksanakan tugas dengan cemerlang. Saya berharap, apabila kami pulang dan memberi laporan kepada beliau (Najib) nanti, kami akan maklumkan tentang kerja penting yang telah dilaksanakan dengan cemerlang, demi kesejahteraan masyarakat Rohingya dan semua yang tinggal di sini. Ia seperti memberi perkhidmatan kecemasan,” katanya.

Pada satu majlis di Pangkalan Udara Subang semalam, Najib melepaskan secara rasmi Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya dan delegasi khas untuk melakukan lawatan ke hospital medan Malaysia di Cox’s Bazar.

Pasukan itu dianggotai 57 wakil daripada Pejabat Perdana Menteri, Angkatan Tentera Malaysia dan tujuh petugas media.

Misi itu akan membuat penilaian tentang kesan daripada bantuan yang diberi Malaysia setakat ini, di samping memastikan hospital berkenaan akan dilengkapi kemudahan secukupnya bagi menangani perkara berkaitan perubatan yang melibatkan pelarian Rohingya.

Sebelum meneruskan perjalanan ke Cox’s Bazar, dalam perjalanan mereka dari pangkalan udara Subang, rombongan itu mendarat di lapangan terbang Chittagong dan menyerahkan bantuan kemanusiaan kepada kerajaan Bangladesh.

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *