Laksa Cap Kunci Mengandungi Bahan Berbahaya Yang Menyebabkan Kanser

Pada jumaat lalu, EHH Food Industry Sdn. Bhd. didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana jual laksa jenama terbabit mengandungi bahan pengawet yang tidak dibenarkan dan boleh menyebabkan penyakit barah.

Selama ini mungkin ramai pernah membeli laksa Cap Kunci atau dihidangkan dengan produk itu ketika makan di medan selera tanpa mengetahui ia amat berbahaya kepada kesihatan.

Menurut sumber, Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman terhadap pengilang makanan itu diwakili penyelia operasinya, Oh Ching Hai selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 13B(1) bersama Seksyen 13B(2)(d) Akta Makanan 1983.

Syarikat berkenaan dikesan berjaya menjual tiga bungkus jenis laksa pendek di pasaran dengan jenama Cap Kunci, mengandungi bahan pengawet asid benzoik yang tidak dibenarkan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Mereka melakukan kesalahan berkenaan di sebuah pasar raya di Jalan Metro Prima, Kepong, Kuala Lumpur pada 10 pagi, 22 Ogos 2017 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

Mahkamah di ibu negara itu turut memerintahkan harta syarikat tersebut yang bernilai RM10,000 disita jika denda terbabit gagal dibayar. Syarikat berkenaan, yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun membayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, seorang pegawai serbuan kesihatan pergi ke pasar raya berkenaan dan membeli tiga bungkus laksa pendek jenama Cap Kunci dengan bayaran sebanyak RM5.40 bertujuan untuk dianalisis di makmal.

Laporan juruanalisis kemudian menunjukkan laksa itu mengandungi asid benzoik sebanyak 514mg/kg iaitu sejenis bahan pengawet yang tidak dibenarkan dalam makanan sekali gus tidak mematuhi Akta Makanan 1985.

Pegawai Pendakwa dari Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan, Rosli Arsyad Mohd Jaafar memohon hukuman maksimum dikenakan terhadap syarikat berkenaan atas sebab kepentingan kesihatan orang awam.

“Asid benzoik merupakan bahan pengawet yang memang tidak dibenarkan mengikut peraturan kerana boleh menyebabkan kerengsaan, asma dan penyakit barah sekiranya dimakan dalam tempoh masa panjang,” kata beliau.

Bagaimanapun, syarikat EHH Food Industry Sdn. Bhd. itu dilaporkan ada membuat permohonan untuk dikenakan hukuman denda yang rendah.

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *