Kementerian Sumber Manusia Kesan 13 Hotel Larang Pekerja Bertudung

Hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan oleh Kementerian Sumber Manusia,didapati terdapat 13 daripada 88 hotel di Semenanjung Malaysia menetapkan dasar ‘standard grooming’ yang melarang pekerja wanita bertudung, demikian menurut laporan sebuah media.

Menurut sumber, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan antara Disember 2017 sehingga 26 Januari lalu, larangan itu membabitkan bahagian tertentu, khususnya di bahagian makanan dan minuman (F&B) serta bahagian hadapan.

“Kementerian memandang serius terhadap isu diskriminasi yang didakwa berlaku dalam kalangan beberapa majikan sektor perhotelan.”

“Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia telah menasihatkan 13 hotel berkenaan mengambil tindakan pembetulan untuk tidak melaksanakan polisi itu.”

Tambah Datuk Seri Richard lagi, Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) juga telah memberikan komitmen untuk menggesa semua pengusaha hotel di bawah MAH untuk tidak menetapkan sebarang dasar melarang pemakaian tudung di tempat kerja.

Di samping itu juga, Datuk Seri Richard Riot berkata bahawa kementerian sedang meneruskan perbincangan ‘tripartite’ melibatkan pihak majikan, pekerja dan kerajaan untuk memperhalusi cadangan pindaan Akta Kerja 1955.

Sebelum ini terdapat gesaan supaya lesen hotel-hotel yang melarang pemakaian tudung ditarik balik.

Bagaimanapun, cadangan pindaan bagi menangani diskriminasi di tempat kerja susulan isu larangan bertudung dalam sektor perhotelan, dijangka dibentang pada sidang Parlimen akan datang yang dijadual berlangsung dari 5 Mac hingga 5 April ini.

 

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *