Kantoi Stok Dadah RM18 Juta

Muatan dua kontena itu dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Kajang, Selangor selepas pengisytiharan 37 guni yang dibawa dari Karachi, Pakistan sebagai garam gagal mengaburi mata pihak berkuasa.

Pemeriksaan rapi mendapati semua muatan yang disyaki berisi dadah itu keseluruahannya dianggarkan bernilai RM18 juta.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata dalam serbuan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM pada pukul 11.30 malam itu hasil maklumat awam, pihaknya turut menahan 18 warga asing yang berumur antara 18 hingga 50 tahun.

“Daripada 18 yang ditahan, 10 adalah warga Pakistan, empat Myanmar dan empat lagi Indonesia dan hanya tujuh daripadanya mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Ketika ditahan kesemua mereka ini sedang memunggah 1,885 guni-guni putih daripada dua kontena ke dalam premis yang disyaki dijadikan stor penyimpanan,” katanya pada sidang media, Isnin.

Hasil pemeriksaan ke atas kesemua guni yang dibawa menerusi Pelabuhan Barat, Port Klang yang diisytihar sebagai garam, daripada 1,885 guni pihak kami menemui sebanyak 37 guni disyaki dadah heroin dan ketamin.

Daripada 37 guni itu yang masing-masing seberat 25 kilogram itu, 31 guni ada heroin seberat 766 kilogram dan enam guni lagi ada ketamin seberat 114 kilogram.

Subromaniam berkata kesemua dadah berkenaan diimport dari Karachi, Pakistan serta tidak menolak kemungkinan bahawa sindiket berkenaan di dalangi warga asing.

“Tapi kita juga menyiasat sama ada terdapat penglibatan daripada warga tempatan,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Malaysia dijadikan negara transit oleh sindiket pengedaran dadah.

Bagaimanapun, Subromaniam berkata kesemua suspek direman tujuh hari bermula Sabtu lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *