“People Economy” : Melestarikan Pembangunan Terengganu

Ketika ini, kita telah pun melewati lebih enam dekad berkhidmat untuk rakyat setelah negara kita bebas daripada penjajahan. Proses pembinaan negara bangsa ini terus kekal diacuan yang betul iaitu menguruskan sumber ekonomi negara dengan cermat lagi berhemat. Bermula daripada pemimpin kerajaan terdahulu di awal kemerdekaan, sehinggalah barisan kepemimpinan hari ini. Tanpa gagal tetap merencana pelbagai rancangan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang bermatlamatkan untuk memakmurkan negara ini. Hakikatnya, pelaksanaan serta pembangunan ekonomi telah melalui susunan strategi yang mapan lagi sistematik. Jika tidak, sudah pasti negara kita tidak sampai pada tahap, ” lega” sepertimana yang kita nikmati pada hari ini.

Cumanya, ramai antara kita yang mudah beranggapan bahawa keutuhan ekonomi ini terjadi dengan bersahaja. Hakikatnya kemenjadian ini telah melalui perancangan rapi dan pengorbanan banyak pihak tanpa mementingkan keuntungan diri sendiri. Proses yang dilalui memerlukan tempoh masa yang lama, terpaksa cekal dalam dalam mengharungi cabaran mahupun dugaan. Dalam kita merencana dan membangunkan ekonomi rakyat kadangkala keputusan yang kurang popular terpaksa kita lakukan. Demikian cebisan kisah yang perlu rakyat fahami secara mendalam. Maka janganlah ada antara kita yang ambil jalan mudah menafikan semua jasa di atas dengan berhasrat meruntuhkannya dengan kecetekan akal fikiran. Sesungguhnya untuk meruntuhkan sesuatu amatlah mudah sementara untuk membangunkannya semula sudah tentulah akan mengambil masa yang sangat lama. Itupun belum tentu mendatang hasilnya lagi.

Sebab itu kita sentiasa mencari kaedah bagaimana ingin menyediakan prasarana, ruang dan peluang terbaik khususnya membantu merancakkan sektor ekonomi berpusatkan rakyat. Kita ingin melihat ekonomi rakyat berkembang seiring dengan kemajuan negara, khususnya buat rakyat di negeri ini.

Sungguhpun iklim ekonomi sekarang tidak begitu memberangsangkan. Kita di pihak kerajaan tetap mengambil tanggungjawab membela nasib rakyat. Slogan 1 Malaysia “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” menjadi panduan kita. Maka atas asas inilah kerajaan negeri Terengganu telah memperkenalkan gagasan Transformasi Terengganu Baharu (TTB). Melaluinya, kepentingan mencipta kesejahteraan rakyat sejak dulu, kini dan selamanya akan kita pertahankan. Kita sentiasa meraikan pandangan rakyat.

Ekonomi Keperluan Rakyat

Faktor ekonomi merupakan elemen utama menuju jalan kebahagiaan sesuatu bangsa. Justeru, denyut nadi keinginan rakyat serta realiti kehidupan mereka telah menjadi pendorong gerak kerja berpasukan dalam segenap matlamat hala tuju kerajaan yang menitikberatkan ekonomi keperluan rakyat atau ‘people economy’.

Bagi kita istilah ‘people economy, ia merupakan ekonomi yang meliputi keutamaan-keutamaan dan kepentingan-kepentingan rakyat seperti kos sara hidup, pendapatan isi rumah, peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan, kualiti hidup, perumahan, latihan, kemahiran, keusahawanan dan keselamatan, yakni aman dari jenayah. Maknanya, ia merupakan ekonomi yang berlandaskan pengalaman seharian kehidupan rakyat.

Ekonomi Keperluan Rakyat ini menjadi paksi dan pegangan dalam mendahulukan kepentingan rakyat. Barulah nanti apabila kita mencapai status ekonomi maju, nikmat kekayaan dan kemakmuran sebenar akan melimpah ke kaki-kaki halaman serta mengetuk pintu-pintu rumah setiap rakyat di negeri ini, Insya-Allah.

Ketika negara sedang berhadapan dengan cabaran-cabaran ekonomi semasa yang tidak menentu, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan mencari peluang ekonomi baharu dalam usaha meningkatkan pendapatan negeri dengan pelbagai cara. Hasil usaha ini bakal menjanjikan pertumbuhan yang pesat di negeri Terengganu serta melonjakkan lagi kekuatan ekonomi negeri ini. Ini tidak lain tidak bukan adalah bagi menyediakan persekitaran ekonomi yang kondusif dan positif agar impak pembangunan mampu meningkatkan taraf ekonomi rakyat terutama dalam penambahan peluang pekerjaan dan juga menaikkan jumlah pendapatan rakyat.

Pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu berada dalam keadaan bertambah baik dan terus positif serta meningkat kepada 3.8% pada tahun 2017 berbanding 3.1% tahun 2016. Peningkatan tersebut adalah berdasarkan pemulihan ekonomi global dan pertumbuhan ekonomi negara yang didorong oleh permintaan domestik dan pelaburan swasta, di samping pasaran buruh negara yang stabil.

Pendapatan bulanan isi rumah penengah 2016 atau Median Monthly Household Income untuk negeri Terengganu telah meningkat melebihi purata kebangsaan pada tahun 2014 dan yang paling tinggi berbanding sembilan (9) negeri lain.

Peratusan tenaga kerja yang berpendidikan tinggi di Negeri Terengganu ialah pada tahap 30 peratus. Ini satu aset yang besar dan angka ini melebihi dan berkembang lebih cepat daripada purata di peringkat nasional iaitu 28 peratus.

Agihan pendapatan dalam kalangan penduduk di satu daerah, adalah hampir seimbang di semua daerah dalam negeri Terengganu. Pendapatan isi rumah bulanan purata juga dijangka meningkat kepada RM 6,411 dalam 2017 berbanding RM 5,776 pada tahun 2016.

Manakala bilangan peluang pekerjaan yang ditawarkan sepanjang tempoh 2014 sehingga 2017 mencecah angka lebih 27 ribu kekosongan yang mana merangkumi 25 ribu kekosongan di pihak swasta dan 2,284 kekosongan dalam Perkhidmatan Awam Negeri, Badan-Badan Berkanun Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan Negeri dan Universiti-Universiti Awam di Negeri Terengganu.

Dalam aspek usaha membasmi kemiskinan pula, sehingga Disember 2017, Terengganu adalah negeri yang kedua tertinggi berjaya mengeluarkan bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) daripada kelompok miskin tegar mengikut senarai e-kasih iaitu seramai 48,940 KIR.

Terengganu juga adalah salah satu di antara dua buah negeri di Malaysia yang tidak lagi mempunyai KIR yang dikategorikan sebagai miskin tegar.

Kerajaan dan barisan kepemimpinan sememangnya telah mengorak langkah berani untuk maju ke hadapan dalam tahun-tahun mendatang. Setelah menempa nama dalam industri pertanian, minyak dan gas, kita kini berusaha untuk meluaskan langkah ke arah sektor yang baharu.

Sejak bertahun lagi, Terengganu telah mengalami kemajuan yang pesat dalam usaha menjadi negeri maju. Antara kemajuan yang ketara adalah di bidang pendidikan, kesihatan, komunikasi dan ditambah lagi dengan kejayaan membasmi kemiskinan negeri serta kewujudan satu ekonomi yang berdaya tahan. Segala kemajuan ini telah meningkatkan lagi kualiti kehidupan rakyat Terengganu.

Namun, masih banyak lagi ruang yang perlu kita isi, usaha yang harus kita laksanakan untuk kita tingkatkan lagi potensi yang ada, melipatgandakan produktiviti dan mencipta inovasi yang baharu agar proses membangun ekonomi ini terus segar dan berkembang seterusnya menarik para pelabur ke sini.

Tanpa menoleh kebelakang lagi kerajaan negeri Terengganu kini begitu serius dan komited dalam merealisasikan transformasi ekonomi ini, selaras dengan agenda besar Transformasi Ekonomi yang telah menampakkan hasilnya kepada rakyat.

Fokus diberi kepada isu sosio-ekonomi, meningkatkan pendapatan isi rumah melalui kewujudan peluang-peluang perniagaan, membangunkan usahawan kecil dan meningkatkan lagi ekonomi di kawasan bandar dan luar bandar.

Bagi memastikan kejayaan usaha ini, sokongan dan dorongan daripada sektor swasta, masyarakat setempat dan seluruh rakyat Terengganu adalah amat diperlukan.

Benarlah kias ibarat orang lama “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Apabila kita saling bersatu sebagai sebuah kapal yang besar walau berada dalam ganasnya gelora atau, kadangkala memintas badai ombak. Kita tegar berada dilandasan yang telah kita sepakati. Roh berpasukan ini menjadi semakin kuat, lalu tiada apa yang boleh menjadi penghalang.

Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Terengganu mengimpikan kebahagian berpanjangan, sememangnya mereka berhak mempunyai satu masa depan yang cerah dan makmur. Perjalanan kita ini mungkin tidaklah semudah disangka, namun apabila setiap daripada kita mengambil peluang ketika ia muncul dengan kebolehan, semangat dan komitmen yang tinggi, kita pastinya akan mencapai kejayaan yang terunggul! Atas komitmen semua pihak tanpa kenal putus asa, kita ucapkan terima kasih banyak dan ucapan syabas yang tidak terhingga. Terima kasih semua!

– SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *