FAS Minat Stadium Cheras

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) lebih berminat menjadikan Stadium KLFA Cheras sebagai gelanggang rasmi pasukan untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018.

Perkara ini dibangkitkan Naib Presidennya, Datuk Abdul Rauf Ahmad ketika ditemu bual sewaktu sesi FB Live Bersama Sukan Sinar dan Sinar Harian pada Khamis.

Jelas Abdul Rauf, pihaknya lebih berharap Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) meluluskan Stadium KLFA Cheras kerana stadium itu dilihat lebih kondusif untuk pemain dan penyokong Gergasi Merah berbanding Stadium Selayang yang dikaitkan sebelum ini.

“Selepas tak dapat Stadium Bukit Jalil, kami telah menhhantar permohonan untuk guna Stadium Selayang, Stadium Paroi dan Stadium Cheras.

“Pada awalnya, kita melihat yang terbaik ialah Stadium Selayang. Tapi masalahnya kami terpaksa bermain di sebelah petang. Bila bermain petang, ia akan beri masalah kepada penyokong untuk hadir ke stadium, ditambah dengan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut pada lewat petang.

“Jadi, sejujurnya, kita lebih berminat guna Stadium Cheras kerana kita boleh bermain di sebelah malam dan kita juga sudah mendapat kebenaran daripada Datuk Bandar untuk membenarkan kami beraksi di sana.

“Apa pun, kita masih menunggu keputusan dari pihak FMLLP dan kita berharap akan mendapat stadium yang terbaik untuk pasukan,” katanya.

Terdahulu, FMLLP mengesahkan sudah menerima permohonan Selangor untuk beraksi di Stadium MPS Selayang, namun perlu beraksi di sebelah petang memandangkan stadium itu tidak mencapai piawaian lampu limpah yang ditetapkan oleh badan tersebut.

Bagaimanapun, FAS bertindak mengemukakan dua lagi permohonan stadium lain iaitu Stadium Paroi dan Stadium KLFA Cheras sebagai pilihan alternatif yang akan disemak dan diteliti semula oleh FMLLP dalam masa terdekat. -Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *