Stesen Caltex Hutan Melintang Diserbu 1,000 Penunggang Motosikal

Stesen minyak Caltex di kawasan Hutan Melintang di Bagan Datuk, Perak sesak dengan kira-kira 1,000 orang penunggang motosikal hadir dan beratur untuk mengisi petrol percuma dalam program anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSPP ) pada 20 Januari lepas.

Ia benar-benar mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk di kawasan itu sehingga membuatkan suasana di stesen minyak berkenaan dipenuhi dengan motosikal.

Pihak penganjur juga ada menggunakan khidmat anggota RELA untuk mengawal keadaan dan mengendalikan perjalanan trafik kepada penunggang yang datang pada program berkenaan.

Apa yang menariknya, ia akan menjadi program bulanan selepas ini di kawasan berkenaan.

Menurut Presiden PMSP, Ramesh Rao, pihaknya menjangkakan hanya 350 orang sahaja akan datang untuk mengisi minyak petrol percuma berkenaan bagaimanapun tidak sampai 30 minit semua baucar yang disediakan habis dan orang ramai masih lagi beratur menunggu untuk mengisi minyak petrol percuma.

“Saya ambil keputusan untuk beri mereka minyak percuma sehingga pukul 12 tengah hari seperti yang tertulis di poster,” kata Ramesh.

Idea berkenaan timbul selepas melihat beban yang ditanggung oleh orang ramai dalam kos sara hidup untuk menampung harga minyak seharian khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan.

“Jadi, ini adalah satu inisiatif PMSP dalam membantu masyarakat di sini (Hutan Melintang) meringankan beban kos sara hidup mereka

“Sekurang-kurangnya, pemberian kami ini dapat membantu mereka menjimatkan duit perbelanjaan petrol selama seminggu,” ujar Ramesh.

Pemberian petrol percuma hanya diberikan kepada mereka yang berusia 21 tahun ke atas dan untuk motosikal 150cc ke bawah sahaja.

Menurut satu laporan akhbar seorang penduduk Hutan Melintang, Hafiza Gunasundari, 43, berkata dia mengetahui program itu selepas mendengar perbualan orang ramai.

Program pengisian minyak petrol percuma menjadi trend sebelum ini di beberapa buah negeri dan ia akan mendapat sambutan hangat jika diadakan.

Pada 16 Mei tahun lepas, 200 orang penunggang motosikal di bandar Kuala Kangsar berbaris panjang menunggu giliran mengisi petrol percuma disumbangkan syarikat pembangunan hartanah dan pemilik sebuah stesen minyak di Jalan Taiping.

Alansar Properties Resources memperuntukkan RM800 manakala pengusaha stesen minyak RM200 bagi membolehkan 200 penunggang mengisi RM5 bagi setiap motosikal antara jam 1 tengah hari dan 2.20 petang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *