Saintis China Berjaya Hasilkan Monyet Klon

BEIJING: Saintis China berjaya menghasilkan dua monyet klon pertama menggunakan proses sama yang mencipta biri-biri, Dolly, lebih 20 tahun lalu, kejayaan yang boleh merangsang penyelidikan perubatan mengenai penyakit manusia.

Monyet berekor panjang dinamakan Hua Hua dan Zhong Zhong dilahirkan di Akademi Sains China (CAS) Institut Sains Saraf di Shanghai, dan hasil penyelidikan bertahun-tahun mengenai teknik pengklonan, pemindahan sel nuklear somatik.

“Usaha ini berjaya meruntuhkan halangan,” kata Pengarah Pusat Kecemerlangan dalam Sains Otak dan Teknologi Kebijaksanaan CAS, Muming Poo.

Sehingga kini, teknik itu digunakan untuk mengklon lebih 20 spesis haiwan berbeza, termasuk anjing, ba.bi dan kucing tetapi monyet terbukti amat sukar.

Kelahiran monyet yang kini berusia enam dan lapan minggu itu juga membangkitkan persoalan etika mengenai sejauh mana saintis sudah hampir untuk mengklon manusia satu hari nanti.

Manusia boleh diklon dengan teknik itu, secara prinsipnya, kata Poo, walaupun tumpuan pasukannya adalah mengklon untuk tujuan penyelidikan perubatan.

Satu hari, pendekatan ini mungkin digunakan untuk menghasilkan lebih banyak monyet untuk tujuan penyelidikan, dan mengelak mengambil haiwan itu dari hutan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *