Nama Sabri Yunus Tular Kerana Pok Ya Cong Codei

Sudahkah anda menonton telemovie Pok Ya Cong Codei yang ditayangkan baru-baru ini di Astro Citra 131 dan Mustika HD 134? Filem lakonan artis kelahiran Kelantan seperti Mustapha Kamal, Fikry Ibrahim, Uqasha Senrose, Sadi Sabri serta Sabri Yunus ini mempunyai pengaruhnya tersendiri walaupun baru ditayangkan.

Berkisarkan mengenai watak samseng bernama Pok Ya lakonan Sabri Yunus yang merupakan anak jati Kelantan dimana dia ditugaskan mencari anak seorang peniaga yang hilang yang dipercayai telah diculik serta dilarikan di Kuala Lumpur.

Kes itu telah memaksa Pok Ya untuk datang ke Kuala Lumpur serta dibantu rakan-rakannya. Akan tetapi setelah kes selesai , dia mendapati isterinya yang muda dan cantik pula hilang.

Antara tarikan filem ini adalah dimana Pok Ya sedang membuat panggilan telefon mengajak rakannya datang ke hotel dia menginap (Concorde Hotel). Namun begitu Pok Ya telah membahasakan Hotel Concorde sebagai Cong Codei yang pastinya akan membuatkan anda tidak kering gusi!

Walaupun dalam loghat kelantan, ternyata Pok Ya Cong Codei begitu diminati ramai sehingga menjadi bualan netizen. Malah penangan drama ini, ada peminat yang menubuhkan kumpulan Pok Ya Cong Codei dan tidak kurang juga ada yang menggubah lagu demi drama ini sehingga membuat Sabri Yunus yang juga pengarah drama ini terharu.

Teringat pula kami pada drama Rombongan Cik Kiah Ke Kuala Lumpur yang mempunyai penangan yang sama seperti karya Sabri. Drama biasa, tapi impak luar biasa. Tahniah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *