Marina Perlu Minta Maaf,Disaran Kembali Kepada Asas Ajaran Agama Islam Sebenar

Share This:

Mengenai kes terpencil seorang lelaki yang tidak waras, Dr Hazlin Chong menegaskan bahawa Marina Mahathir tidak sepatutnya menggunakan kes tersebut sebagai ‘bukti’ bahawa itu adalah Islam dan Islamisasi adalah perkara yang buruk, walhal Islam tidak pernah menganjurkan penganutnya berlaku sedemikian meskipun untuk dakwah.

 

Menurut sumber, Pengerusi Pusat Dakwah dan Kecemerlangan Islam Peace (PEACE) itu berkata demikian ketika diajukan persoalan mengenai kes yang diambil sebagai contoh oleh aktivis sekular liberal Marina Mahathir sebagai contoh Islamisasi yang sedang berlaku di Malaysia walhal lelaki itu tidak waras dan Islam tidak ada kena mengena pun dengan insiden itu.

 

Marina dikatakan menggunakan satu kes terpencil seorang lelaki menampar seorang wanita tidak bertudung, lalu membuat dakwaan bahawa Islamisasi akan merobek Malaysia dan menjadikan negara ini merosot.

 

Marina Mahathir sebelum ini menyatakan Islamisasi adalah satu penjajahan dan konsep yang diketahui ganas.

 

“Aksi lelaki tersebut tidak langsung mencerminkan Islam,” kata Dr Hazlin Chong ketika dihubungi sebuah media.

 

Menurutnya, tuduhan ini lebih kurang sama dengan Barat yang menuduh Islam sebagai agama keganasan dengan aksi pengganas (contoh Daesh) yang tidak mencerminkan Islam dan umat Islam secara keseluruhannya.

 

Beliau berkata, bilangan pengganas juga adalah teramatlah sedikit berbanding dengan jumlah umat Islam yang mahukan keamanan.

 

“Tuduhan tersebut yang datang daripada Marina sendiri sebagai orang Islam adalah pelik kerana beliau sepatutnya faham apa yang merangkumi Islam dan apa yang bukan Islam,” katanya.

 

Ujar beliau, sememangnya menampar seseorang wanita kerana dia tidak memakai tudung adalah tidak tepat dan bukan cara berdakwah yang Islam anjurkan.

 

Ditanya, kenapa agaknya tokoh-tokoh sekular/liberal sering bersangka buruk terhadap Islam sehingga insiden terpencil sebegitu juga cepat mereka salahkan Islam Dr Hazlin Chong berkata, tokoh-tokoh sekular/liberal memperjuangkan agenda mereka iaitu sekularisme/liberalisme yang bertentangan dengan kehendak Islam sebagai agama syumul yang merangkumi segala aspek kehidupan individu, masyarakat dan negara.

 

“Jadi mereka akan mencari apa sahaja yang dapat memenangkan agenda mereka, termasuklah menggunakan insiden terpencil yang tidak mencerminkan karakter atau peribadi Muslim sejati (menggunakan al-hikmah ketika berdakwah),” katanya.

 

“Oleh itu, Marina perlu meminta maaf secara terbuka supaya Islam tidak difitnah sebagai agama keganasan,” tegas beliau lagi. Dr Hazlin Chong secara jujurnya menasihatkan kepada tokoh-tokoh seperti Marina Mahathir agar kembali kepada asas ajaran agama Islam yang sebenar sebelum cuba mengaitkan apa-apa perkara yang dilakukan oleh orang Islam.

 

Menurutnya, hal ini kerana mungkin sekali orang tersebut tidak mengamalkan perkara yang selari dengan ajaran dan kehendak Islam.

 

“Umat Islam yang cakna sememangnya tahu percubaan Marina untuk mengaitkan Islam dengan insiden di atas adalah salah dan tidak tepat,” tegas Dr Hazlin Chong mengakhiri perbualan.

 

-PRU14.TV

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*