Ringgit Kukuh Kerana Kecemerlangan Ekonomi Malaysia – PM

Share This:

Nilai ringgit yang kembali konsisten berada di bawah paras RM4.00 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) sejak awal bulan ini turut disumbangkan oleh keyakinan pelabur-pelabur asing terhadap kecemerlangan asas ekonomi Malaysia, bukan hanya kerana kenaikan harga minyak dunia semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kekuatan ekonomi negara membolehkan nilai mata wang itu mencecah paras terbaiknya dalam tempoh 17 bulan pada 5 Januari lalu.

Katanya, prestasi itu dicapai hasil daripada pelbagai dasar dan program transformasi untuk mengukuhkan kewangan kerajaan, meningkatkan pendapatan rakyat serta mengubah struktur ekonomi lama yang tidak lagi sesuai dengan keadaaan semasa, termasuk dasar-dasar berat sebelah yang diperkenalkan oleh pemimpin terdahulu.

“Ringgit meningkat 10.4 peratus berbanding dolar AS pada 2017 dan pada 5 Januari 2018 nilainya berada pada kedudukan tertinggi dalam tempoh 17 bulan dan kembali kepada paras psikologi di bawah RM4.00.

“Peningkatan ini mungkin didorong oleh pemulihan harga minyak dunia, tetapi ia juga memberi petanda bahawa terdapatnya sentimen positif dalam kalangan pelabur-pelabur asing serta pengiktirafan mereka terhadap ekonomi dan kewangan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Invest Malaysia 2018 yang dihadiri lebih 2,000 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli korporat tempatan dan asing di ibu negara, hari ini.

Najib juga menjelaskan kerajaannya tidak mengambil sikap lepas tangan untuk menyelesaikan pelbagai isu berbangkit, khususnya berkaitan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadikan modal politik oleh pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.

“Terdapat beberapa pihak berusaha mensabotaj ekonomi negara dengan mengaitkannya dengan syarikat milik kerajaan demi kepentingan politik mereka. Anda semua tahu saya merujuk kepada 1MDB.

“Saya tidak akan mengabaikan perkara ini kerana sememangnya terdapat kegagalan dalam syarikat ini yang perlu dirisaukan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk menstruktur semula 1MDB dengan membangunkan aset-asetnya, mengurangkan hutang syarikat termasuk melibatkan beberapa pemimpin pembangkang untuk menyiasat pelbagai perkara mengenai syarikat itu.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*