KPDNKK Uruskan 9,060 Kes, Nilai Rampasan RM31.02 Juta

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merekodkan sebanyak 9,060 kes membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM31.02 juta, sepanjang tahun lepas.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata daripada jumlah itu, sejumlah 284 kes membabitkan nilai rampasan berjumlah RM4.12 juta direkodkan bagi kesalahan di bawah aktiviti penyeludupan dan penyelewangan barang kawalan bersubsidi.

“Dengan kejayaan ini, ia menyelamatkan wang negara berjumlah RM112 juta terhadap pemberian subsidi barang kawalan daripada diseleweng,” katanya kepada pemberita selepas program pelupusan ekshibit di Kompleks Penyimpanan KPDNKK di Nilai, Negeri Sembilan, hari ini.

Beliau berkata bagi kesalahan di bawah Akta Hakcipta 1987, sebanyak 94 kes dicatatkan dengan nilai rampasan berjumlah RM1.37 juta manakala di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, terdapat 1,454 kes membabitkan nilai rampasan berjumlah RM15.45 juta.

“Bahagian penguatkuasaan juga memberi sumbangan besar dalam perlindungan ke atas hak harta intelek demi memastikan industri berkaitan dapat dilindungi. Penguatkuasaan di bawah Akta Hakcipta 1987, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Cakera Optik 2000 digunakan untuk memastikan hak harta intelek terus terpelihara daripada penjenayah cetak rompak dan barang tiruan,” katanya.

Bagi menangani kos sara hidup dalam memastikan pengguna tidak ditindas oleh peniaga, Mohd Roslan berkata kementerian itu telah mengeluarkan sebanyak 273 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP) kepada peniaga yang disyaki mencatut.

KPDNKK katanya juga akan terus menguatkuasakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) bagi barang keperluan asas demi memastikan harga terkawal dan mampu dibeli rakyat.

“Sepanjang tempoh enam kali SKHMP tahun lepas iaitu Tahun Baharu Cina, Hari Raya Puasa, Krismas, Deepavali, Kaamatan dan Gawai, rakyat mudah mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan.

“Untuk rekod 2017, sebanyak 87,336 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara dengan 391 tindakan kes atas pelbagai kesalahan dan nilai rampasan sebanyak RM39,985 serta kompaun sejumlah RM54,250,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Roslan berkata KPDNKK juga pada 2016 telah menjalinkan kerjasama dengan Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi bersama-sama memainkan peranan dalam membanteras aktiviti pengubahan wang haram.

“Bagi memastikan tindakan pencegahan lebih efektif, bermula tahun 2016, KPDNKK turut menyiasat kes di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUA 2001). Sebanyak 10 kertas siasatan telah dibuka dengan pembekuan akaun bernilai RM43.30 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak empat kes telah dituduh di Mahkamah Sesyen dengan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFAPUA 2001 iaitu pengubahan wang haram dan empat kes lagi dituduh di Mahkamah Tinggi untuk tujuan pelucutan hak tanpa pendakwaan hasil pengubahan wang haram yang bernilai RM1.05 juta,” katanya.

Mohd Roslan berkata kementerian telah membuka sebanyak empat kertas siasatan di bawah akta tersebut bagi kesalahan penyelewengan ke atas barang kawalan bersubsidi, penipuan jualan langsung dan perlindungan harta intelek, tahun lepas.

“Antara kejayaan terbesar KPDNKK dalam penguatkuasaan bersama-sama dengan NRRET, BNM dan PDRM di bawah AMLATFAPUA 2001 pada tahun lepas adalah menumpaskan penipuan skim pelaburan melibatkan jumlah aset alih yang dibekukan bernilai RM214.46 juta daripada 101 akaun.

“Kita juga turut menyita aset alih dalam institusi kewangan bernilai RM133.10 juta daripada 92 akaun beserta tiga buah kenderaan mewah,” katanya.

Mengenai program pelupusan ekshibit, beliau berkata pelbagai barangan yang dirampas sepanjang tahun lepas yang keseluruhannya berjumlah RM6.87 juta dilupuskan antaranya video cakera padat (VCD), cakera video digital (DVD), kasut, pakaian, minyak wangi, toner, arak, barang elektrik, beg tangan wanita, dompet dan tali pinggang lelaki serta kelengkapan dapur.

“Pelupusan barang rampasan sepanjang tahun lepas adalah melibatkan barang yang dirampas daripada 368 kes di bawah pelbagai akta antaranya Akta Hakcipta 1987, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1999, Akta Cakera Optik 2000 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *