Kim Swee Cabar Pemain B-23

Share This:

SEPANG: Pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee mencabar pemainnya yang mencipta nama pada Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 di China, untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Kim Swee berkata setiap pemainnya perlu bekerja keras membuktikan kemampuan dimiliki mereka untuk memikat hati jurulatih pasukan masing-masing dalam saingan Liga-M, walaupun menyedari kesukaran yang bakal dihadapi anak buahnya itu.

Beliau berkata kejayaan diraih pasukannya pada kejohanan di China itu, tidak boleh dijadikan alasan buat setiap pemain untuk berasa selesa.

“Mereka (pemain) perlu berusaha dan tidak boleh menyalahkan sesiapa sekiranya tidak terpilih dalam kesebelasan utama.

“Apabila anda menandatangani kontrak bersama pasukan itu, anda tidak seharusnya berasa selesa. Jika ada mempunyai sikap seperti itu, anda mungkin tidak akan disenaraikan,” katanya kepada pemberita sejurus tiba dari China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam Isnin.

Skuad negara melakar sejarah mara ke suku akhir Kejuaraan AFC B-23 2018 selepas menamatkan saingan Kumpulan C di tempat kedua dengan kekalahan 1-4 bertemu Iraq, sebelum bangkit mengikat Jordan 1-1, diikuti kemenangan bersejarah 1-0 ke atas Arab Saudi.

Pada aksi suku akhir berdepan finalis 2016, Korea Selatan, skuad negara mempamerkan persembahan terpuji apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang gantian N.Thanabalan selepas ketinggalan 0-1 seawal 15 saat permainan bermula.

Bagaimanapun, hasrat Malaysia melakar satu lagi kejutan lebur apabila Han Seung-Gyu menyumbat gol kemenangan Korea Selatan pada minit ke-85 untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir. – Bernama

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*