Dr Kamarul Pelik Azmi Sharom Tampak Begitu Kebal

Prof Madya Dr Azmi Sharom yang merupakan pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya,  begitu aktif dan lantang sekali bersuara menyokong Pakatan Harapan serta mengkritik Barisan Nasional di ruangan akhbar mahupun forum, namun, beliau tidak dituduh menyimpang daripada bidang sebagai ahli akademik mahupun dicabar menyertai bidang politik.

Demikian kenyataan Pengarah Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Menurut Dr Kamarul, selain mengkritik kerajaan dan pemimpin-pemimpin kerajaan dalam tulisannya, Dr Azmi juga menggunakan akhbar milik MCA, The Star, untuk berkempen dan mempromosikan pemimpin pembangkang.

Akan tetapi, tiada sesiapapun yang mempertikaikan tindakan Dr Azmi, baik daripada orang ramai, pihak The Star mahupun pihak Universiti Malaya.

“Saya sebutkan mengenai bagaimana Dr Azmi menggunakan akhbar The Star pada 6 Disember 2017 untuk berkempen dan mempromosikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, sebagai calon terbaik untuk jawatan Perdana Menteri dari Pakatan Harapan.”

“Semalam, di dalam satu forum bertajuk “Post 1MDB And Malaysia: What Future Can We Have” di Kuala Lumpur, Dr Azmi dilapor memaklumkan beliau akan mengundi Pakatan Harapan selain menggesa rakyat Malaysia mengundi Pakatan Harapan di dalam PRU 14.”

“Pelik juga saya mengapa Dr Azmi tidak dituduh menyimpang daripada bidang sebagai ahli akademik, mengapa Universiti Malaya tidak digesa mengambil tindakan terhadap beliau dan mengapa beliau tidak dicabar menyertai bidang politik di sebalik semua kenyataan beliau ini.” Kata Dr Kamarul lagi, perkara yang sama tidak terjadi sewaktu beliau mengkritik Pakatan Harapan tanpa menggesa mana-mana pihak mengundi sesiapapun.

“Sedangkan bila saya mengkritik Pakatan Harapan tanpa menggesa mana-mana pihak mengundi sesiapa pun, saya dituduh menyimpang daripada bidang sebagai ahli akademik, universiti saya digesa mengambil tindakan terhadap saya dan saya dicabar menyertai bidang politik.”

Tambah Dr Kamarul lagi, apa yang memelikkan, sehingga hari ini The Star masih memberi ruang kepada Dr Azmi untuk terus menulis walaupun tulisannya mengkritik kerajaan.

“Lebih peliknya lagi, walaupun sudah jelas terbukti bahawa Dr Azmi menyokong Pakatan Harapan serta mengkritik Barisan Nasional, sehingga ke hari ini akhbar milik MCA, parti komponen Barisan Nasional, masih memberi ruang luas kepada beliau untuk terus menulis di situ.”

“Alangkah beruntungnya menjadi seorang Dr Azmi ini yang tampak begitu kebal dan istimewa sekali,” ujar Dr Kamarul lagi.

Menurut sumber berkata, Dr Azmi sebelum ini pernah mendakwa bahawa Raja-Raja Melayu tidak menginginkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan penafsiran perkara ini telah menimbulkan pelbagai masalah dalam negara dalam sebuah forum anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) bertajuk, “Is Reason a Threat to Faith and Society?”.

Namun sehingga hari ini, tiada sebarang tindakan dikenakan ke atasnya berhubung kenyataan tersebut.

 

 

 

 

 

-PRU14.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *