PROGRAM TANGGUNGJAWAB SOSIAL LHDNM MEMBERSIH KAWASAN PANTAI TANJUNG LIPAT, SABAH

Share This:

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada hari ini melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial (Social Responsibility – SR) membersihkan kawasan Pantai Tanjung Lipat di Kota Kinabalu, Sabah.Pelaksanaan program ini telah disempurnakan secara bersama oleh YBhg. Dato’ Sri Sabin bin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM dan Puan Noor Liza Awang Alip, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK yang mewakili Datuk Bandar DBKK serta hampir 200 orang warga kerja LHDNM.

Program yang bertemakan “Creating Awareness, Preserving Nature” ini merupakan salah satu aktiviti SR LHDNM yang dirancang pada tahun ini dan bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada warga kerja LHDNM serta komuniti mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar yang merupakan sebahagian daripada ekosistem kehidupan.

Program SR LHDNM berskala besar yang kedua kalinya di Negeri Sabah, di mana program pertama telah dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pemegang Taman-Taman Sabah dengan menurunkan Peranti Biodiversiti Marin di Pulau Manukan pada tahun 2014.

Menurut Dato’ Sri Sabin, program SR yang dilaksanakan oleh LHDNM seperti ini adalah sebagai menyahut seruan pihak kerajaan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan pendekatan serampang dua mata, iaitu melaksanakan satu bentuk khidmat kepada masyarakat serta pada masa yang sama turut menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi kerajaan, swasta mahupun NGO.

“Sama seperti sistem percukaian yang mesti dipelihara demi kelestarian kemakmuran negara, alam sekitar juga merupakan aset komuniti yang perlu dipelihara untuk kelangsungan generasi masa hadapan”, tambah beliau lagi.

Sementara itu, Datuk Bandar DBKK memuji pendekatan yang diambil oleh LHDNM dalam usaha secara bersama memelihara alam sekitar. Menurut beliau penglibatan agensi-agensi kerajaan dan badan korporat amat digalakkan dalam usaha sebegini kerana ia bukan sahaja dapat menjadikan tempat rekreasi awam bersih, malah ia turut mampu membantu meningkatkan ekonomi negeri apabila semakin ramai pelancong berminat mengunjungi lokasi-lokasi menarik ini.

Selain itu, usaha sebegini juga diyakini mampu mendidik masyarakat untuk mengamalkan kebersihan serta aktiviti kitar semula. Turut hadir sama dalam program ini adalah Timbalan-Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Pengarah LHDNM Cawangan Kota Kinabalu dan PengarahPengarah Jabatan LHDNM.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*