Pertemuan Jakim Membawa Makna Sangat Positif – Sajat

Share This:

 

Usahawan kosmetik, yang dikenali sebagai Nur Sajat masih sudi berkongsi serba-sedikit tentang ‘isi’ pertemuannya bersama pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ke premis perniagaan Nur Sajat Kamaruzzaman walaupun ia menimbulkan pelbagai tanda tanya netizen mengenai identitinya.

 

Nur Sajat berkata, kunjungan Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof dan beberapa kakitangan lain ke tempatnya pada Selasa merupakan sebahagian daripada proses perkenalan.

 

Menurutnya, perjumpaan bersama pihak Jakim itu berlangsung dengan aman selama satu jam dan lebih ke arah mengenali dirinya.

 

“Perjumpaan semalam tidak ada sebarang topik panas yang dibincangkan. Hanya sekadar sesi perkenalan untuk mengenali lebih lanjut siapa Sajat.

 

“Saya dan kedua ibu bapa menyambut kedatangan Jakim sama seperti tetamu lain. Sebagai tuan rumah, orang datang tempat kita, harus dilayan baik-baik,” katanya kepada sebuah media.

 

Menurut sumber, Sajat berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Mohd Izwan di Wisma Nur Sajat di Shah Alam, petang Selasa.

 

Kedua-dua ibu bapa Sajat turut serta dalam pertemuan itu.

 

Pada Selasa, sebuah media melaporkan Sajat sedia berjumpa dengan pihak Jakim berhubung isu berkaitan dirinya hingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

 

Ia susulan Mohd Izwan yang merupakan pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Jakim menerusi ‘mesej terbuka’ di laman sosial Facebook pada Isnin berhajat untuk berjumpa dengan Sajat memandangkan isu yang timbul kebelakangan ini menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan masyarakat.

 

Difahamkan, hajat pihak Jakim untuk mengadakan pertemuan dengan Sajat tercetus ekoran cemuhan dan kecaman netizen sejak kebelakangan ini berhubung isu identiti usahawan kosmetik berkenaan.

 

Ditanya adakah pihak Jakim mendapatkan pengesahan mengenai identiti dirinya, Sajat enggan mengulas lanjut.

 

“Maaf ya, apa yang kami bincangkan rasanya biarlah hanya diketahui oleh kami sahaja dan tak perlu untuk dikongsi semuanya.

 

“Secara keseluruhannya, pertemuan kami membawa makna sangat positif dan Insya-Allah akan ada jalan penyelesaian,” katanya.

 

Usahawan berusia 33 tahun ini berkata dia memilih untuk tidak terlalu bercerita mengenai pertemuan ini kerana sedar ada pihak yang hanya tahu mengkritik daripada memberi kata-kata semangat.

 

Atas alasan itu, dia lebih selesa untuk mengadakan pertemuan secara tertutup dan tidak terlalu terbuka berbicara mengenai isu tersebut.

 

“Netizen hanya tahu mengkritik dan menghentam. Apa sahaja kita lakukan ada yang tak kena di mata mereka.

 

“Jadi lebih baik saya diam dan tak perlu nak komen lebih-lebih!,” katanya.

 

Sementara itu, Sajat tidak menolak kemungkinan bahawa akan ada lagi pertemuan lain bersama pihak Jakim pada masa akan datang.

 

Bagaimanapun, dia masih belum dapat memberikan tarikh dan waktu selanjutnya.

 

“Ia adalah perbincangan dalaman dan jika ada pertemuan lain, saya akan kongsikan di Instagram nanti,” katanya yang bakal muncul dengan single baharu bersama Datuk Aliff Syukri tidak lama lagi.

 

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*