Pembangkang Didesak Dedahkan Pengagihan Semua 222 Kerusi

Share This:

Pakatan pembangkang hari ini didesak sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendedahkan kesemua nama parti yang bakal bertanding di semua 222 kerusi Parlimen pada PRU14 nanti kepada rakyat dan bukan berselindung atau menyembunyikan perkara-perkara tertentu.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao berkata, selepas Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Ahad lepas, pakatan itu hanya umumkan pengagihan 165 kerusi kepada parti sekutu dalam PH yang bertanding di Semenanjung Malaysia tanpa menyebut agihan kerusi untuk Sabah dan Sarawak.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ramesh berkata di kedua-dua negeri di Kepulauan Borneo itu ada 57 baki kerusi lagi dan selepas tiga hari, tidak diketahui kerusi di sana akan ditandingi oleh parti mana dalam PH sehingga mencetuskan tanda tanya.

“Mereka kata Bersatu diberikan kerusi paling banyak pada PRU14 nanti iaitu sebanyak 52 kerusi dan DAP hanya bertanding 35 kerusi sahaja tapi itu hanya kerusi di Semenanjung sahaja, apa cerita baki 57 kerusi lagi? Siapa yang akan bertanding?

“Dalam pakatan mereka sendiri sudah mula bergaduh, Amanah tidak puas hati kerana dapat kerusi sedikit iaitu sebanyak 27 kerusi sahaja, mereka tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini dengan baik kerana mereka suka berebut,” katanya.

Beliau berkata DAP perlu mendedahkan berapa kerusi yang mereka akan bertanding kerana PPBM dan Amanah difahamkan tidak akan meletakkan calon di Sabah dan Sarawak sebelum ini.

Biasanya hanya PKR dan DAP sahaja akan bertanding di negeri-negeri itu dalam beberapa pilihan raya umum sebelum ini.

“Kalau Bersatu dan Amanah enggan bertanding di Sabah dan Sarawak, maknanya DAP dan PKR akan sapu semua kerusi itu, jadi di mana kah relevannya Bersatu akan bertanding kerusi paling banyak, mereka sudah mengelirukan dan menipu pengundi,” katanya.

Ramesh berkata pengumuman pengagihan 165 kerusi itu hanya bertindak mengaburi penyokong mereka yang masih ragu-ragu adakah parti yang dipimpin oleh Pengerusi PH, Mahathir Mohamad benar-benar diberikan kerusi paling banyak untuk bertanding dan DAP boleh terima bertanding dengan kerusi yang jumlahnya sedikit berbanding PRU13 yang lepas.

“Jangan tunggu sehingga dekat hari mengundi atau penamaan calon baru hendak umumkan pengagihan kesemua 222 kerusi Parlimen oleh parti pembangkang.

“Niat DAP untuk bersekongkol dengan Mahathir untuk rosakkan negara sudah pun diketahui oleh pengundi yang sudah bijak dan matang dalam membuat pilihan.

“Mereka sedar, hanya Barisan Nasional (BN) yang telus dalam mentadbir negara dan tidak ada apa-apa agenda tersembunyi dalam memajukan negara,” katanya dalam kenyataan itu.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*