Pakatan Harapan Ada Lima Pasangan Untuk Dicalonkan Sebagai PM dan TPM?

Share This:

Sejak pengumuman yang menyatakan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad dicalonkan untuk menjadi Perdana Menteri seandainya Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke 14 diadakan, ramai dikalangan rakyat Malaysia yang mengkritik keputusan berkenaan. Ini ditambah pula dengan nama Datin Seri Wan Azizah yang dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri seandainya Pakatan Harapan berkuasa kelak.

Lebiih memburukkan keadaan apabila jawatan yang diserahkan kepada Mahathir ini bersifat sementara di mana Pakatan Harapan tetap mahu meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri setelah urusan rayuan DiRaja berjaya di laksanakan.

Jika diteliti keadaan terkini yang membelenggu Pakatan Harapan, mungkinkah mereka sengaja meletakkan nama Mahathir yang semua pihak sedar bahawa Mahathir bukanlah calon paling popular di dalam DAP, PKR dan PAN? Manakan tidak, sehingga hari ini, penyokong ketiga-tiga parti berkenaan secara terbuka menyuarakan penolakan mereka terhadap pencalonan Mahathir berkenaan.

Jika diteliti keadaan semasa, timbul persoalan, adakah nama Mahathir dan Wan Azizah ini hanyalah sekadar “dummy” atau menguji sejauh mana penerimaan rakyat terhadap dua calon ini? Mungkinkah ada pasangan lain yang akan dinamakan di saat akhir sekiranya keadaan ini masih berterusan?

Mari kita selusuri beberapa pasangan yang mungkin akan diketengahkan oleh Pakatan Harapan sekiranya pasangan Mahathir – Wan Azizah ini ditolak.

1. Perdana Menteri : Tun Dr Mahathir Mohamad
Timbalan Perdana Menteri : Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail

Ini adalah nama rasmi yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dari Pakatan Harapan. Namun, setelah lebih 72 jam pengumuman ini dilakukan, majoriti penyokong Pakatan Harapan termasuk kumpulan yang menjadi penyokong tegar pakatan pembangkang, Otai Reformis menyuarakan penolakan mereka atas pelbagai perkara.

Antara perkara asasnya adalah, apa yang dilakukan Mahathir semasa dia menjadi Perdana Menteri terhadap pembangkang, sukar untuk dimaafkan. Malah, ramai dikalangan musuh politik Mahathir termasuk anak-anak Mediang Karpal Singh sendiri menyuarakan penolakan mereka. Adakah Pakatan Harapan masih mahu meneruskan rancangan asal ini sekiranya secara terang-terangan penyokong sendiri menolaknya?

2. Perdana Menteri : Datuk Seri Anwar Ibrahim
Timbalan Perdana Menteri : Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail

Nama ini adalah pasangan kedua yang dicadangkan secara terbuka oleh Pakatan Harapan semasa konvensyen mereka, Ahad lalu. Sememangnya diakui, nama Anwar adalah nama paling popular untuk dicalonkan sekali lagi sebagai Perdana Menteri. Namun, halangan terbesarnya adalah, dia terpaksa menjalani penggantungan dari melibatkan diri dalam arena politik selama 5 tahun setelah dia secara rasmi dibebaskan pada 8 Jun nanti.

3. Perdana Menteri : Tun Dr Mahathir Mohamad
Timbalan Perdana Menteri : Lim Kit Siang

Pasangan nama ini adalah nama yang kerap menjadi sebutan di kalangan penyokong Pakatan Harapan termasuk pemerhati politik. Malah, Lim Kit Siang sendiri tidak pernah menafikan namanya dikaitkan untuk dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dalam beberapa kenyataan, Mahathir seperti tidak kisah sekiranya Lim Kit Siang menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri seandainya berkuasa kelak.

Alasan yang dikemukan adalah faktor pengalaman yang ada pada Lim Kit Siang yang telah menceburkan diri dalam arena politik selama lebih 50 tahun. Paling utama, Lim Kit Siang mampu menjadi daya penarik buat kaum Cina untuk menyokong penuh Pakatan Harapan seandainya mereka berkuasa kelak.

4. Perdana Menteri : Tan Sri Muhyiddin Yasin
Timbalan Perdana Menteri : Mat Sabu

Pasangan dia Presiden parti ini antara nama yang disebut sebagai berpotensi dicalonkan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Namun, jika dinilai dari penglibatan mereka di dalam Pakatan Harapan, harapan untuk menyaksikan dua orang Presiden parti ini menerajui negara, boleh dianggap sebagai tipis.

Ini kerana, peranan yang dimainkan oleh Muhyiddin di dalam PPBM tidaklah terlalu besar kerana peranannya telah diambil alih oleh Pengerusinya, Mahathir. Bagi Mat Sabu pula, kebolehannya untuk memimpin masih menimbulkan tandatanya. Ini kerana, dia sendiri dilihat tidak berani mengambil apa jua keputusan berani selagi ianya tidak diberi keizinan oleh DAP.

5. Perdana Menteri : Datuk Seri Azmin Ali
Timbalan Perdana Menteri : Mukhriz Mahathir

Ini adalah pasangan nama yang kedua terhangat diperkatakan oleh para penyokong Pakatan Harapan dan kebanyakan pemerhati politik. Azmin dikenali sebagai seorang pemimpin yang cuba mentransformasikan PKR dari terlalu bergantung kepada Anwar kepada sebuah parti yang lebih terbuka. Cuma halangannya adalah mereka yang masih kekal taksubkan Anwar.

Bagi Mukhriz pula, reputasinya sebagai “anak bapa” mungkin bakal memainkan peranan dalam membuka laluannya untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri. Cuma yang mungkin menghalangnya adalah reputasinya sebagai ahli politik di samping masih bergantung kepada bapanya untuk membuat sebarang keputusan.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*