Apa Sudah Jadi Mahathir?

Share This:

Di kala ramai pemerhati politik menyifatkan pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan mungkin dapat menyelesaikan perkara asas pakatan pembangkang berkenaan, keadaan sebaliknya berlaku sejak lebih 48 jam pengumuman berkenaan di buat semasa Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC Shah Alam, Ahad lalu.

Secara tiba-tiba gelombang penentangan pencalonan berkenaan kedengaran dan paling kuat sekali adalah datangnya dari kumpulan NGO pro PKR, Otai Reformis. Sejak dari hari pengumuman berkenaan dibuat, Otai Reformis secara terang-terangan membantah pencalonan Mahathir ini sehingga menimbulkan kekecohan di luar konvensyen berkenaan dengan para penyokong PAN.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga penyokong DAP sendiri yang membantah pencalonan Mahathir ini kerana kelompok ini menyifatkan ia sebagai pengkhianatan terhadap apa yang mereka perjuangkan sejak sekian lama. Malah, para penyokong PKR sendiri pun ada yang membantah pencalonan ini sehingga mereka mengugut untuk memulaukan Pilihan Raya Umum ke 14 nanti.

Terkini, ahli PPBM yang dipengerusikan oleh Mahathir sendiri turut membantah pencalonan Mahathir kerana mereka sendiri menyifatkan, pencalonan Mahathir ini sebagai langsung tidak relevan dan tidak masuk akal. Timbul persoalan, apa sudah jadi dengan nama Mahathir itu sendiri sehinggakan majoriti yang membantah adalah dari kalangan anak muda di dalam Pakatan Harapan itu sendiri.

Sebenarnya, imej Mahathir sudah lama teruk di dalam kem pembangkang. Manakan tidak, sejak dia memegang tampuk kuasa negara pada tahun 1981, pihak pembangkang begitu teruk ditekan oleh Mahathir sehingga ada diantaranya di sumbatkan kedalam penjara ataupun dikenakan tahanan ISA. Kemuncak kepada segala kekejaman Mahathir adalah apabila dia memecat Datuk Seri Anwar yang pada ketika itu timbalannya.

Tidak cukup dengan itu, sepanjang dia berkuasa, hak kebebasan bersuara terutama di pihak pembangkang juga turut dinafikan. Lebih parah lagi, Mahathir sehingga kini diselubungi dengan pelbagai skandal terutamanya skandal forex yang menyaksikan negara mengalami kerugian mencecah angka RM 32 bilion.

Kegagalan Mahathir menerangkan punca sebenar kekayaan luar biasa anak-anaknya juga antara punca kenapa dia ditolak oleh sebahagian besar para penyokong Pakatan Harapan. Mahathir sehingga kini memilih untuk terus membisu walaupun desakan ini datangnya dari dalam PPBM dan Pakatan Harapan itu sendiri.

Melihat akan keadaan semasa hari ini, walaupun Mahathir hari ini sudah berada di kem pembangkang, namun dia masih gagal “membersihkan” segala kekotoran yang telah dia lakukan sepanjang 22 tahun mentadbir negara. Mahathir masih gagal meyakinkan penyokong pembangkang bahawa hanya dialah sahaja yang mampu membawa Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14 kelak.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*