Pakatan Harapan Terbukti Sudah Ketandusan Pemimpin

Share This:

Keputusan Pakatan Harapan menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri jika pakatan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan sahaja menimbulkan pelbagai persoalan tetapi juga membuktikan kecelaruan mereka dalam memilih siapa lebih berhak menduduki jawatan berkenaan.

Berdasarkan kepada pengumuman yang dibuat oleh Ketua Setiausaha pakatan tersebut, Datuk Saifuddin Abdullah di Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam hari ini, bekas Perdana Menteri berusia 93 itu dipilih sebagai calon Perdana Menteri manakala Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

Walaupun semalam Wan Azizah menyatakan, Pakatan Harapan mempunyai ramai calon untuk menjadi Perdana Menteri, namun pemilihan Dr.Mahathir membuktikan pakatan tersebut ketandusan calon bagi menduduki jawatan berkenaan sehingga terdesak mengambil Dr.Mahathir yang dilihat ‘calon kitar semula’.

Biarpun pakatan itu pastinya akan mempertahankan keputusan yang dibuat dan menganggap ada negara lain berbuat demikian tetapi perlu diingat situasi tersebut berbeza sama sekali dengan tindakan Pakatan Harapan.

Ia disebabkan Dr. Mahathir bukannya kehilangan jawatan akibat tewas dalam pilihan raya tetapi berundur secara sukarela atas alasan ‘dah lama dah’ setelah 22 tahun menjadi Perdana Menteri bagi tempoh 1981 hingga 2003 atas tiket Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun apa yang menjadi persoalan ialah berapa lama­kah Dr. Mahathir akan menjadi Perdana Menteri jika pakatan itu menang PRU-14? Ia memandang­kan mengikut pengumuman Saifuddin, mereka akan melaksanakan proses undang-undang bagi mendapatkan pengampunan diraja untuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dijangka menamatkan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 8 Jun ini.

Saifuddin juga menegaskan, langkah tersebut dilakukan bagi membolehkan Anwar segera berperanan dalam kerajaan persekutuan dan kemudian diangkat sebagai calon Perdana Menteri kelapan.

Pengumuman itu membuktikan Dr. Mahathir hanya akan menjadi Perdana Menteri sementara seperti mana desakan PKR sebelum ini yang tetap mahu Anwar menduduki jawatan nombor satu negara.

Namun begitu bagi mengelirukan rakyat dan mengelakkan polemik, Pakatan Harapan tidak menggunakan perkataan ‘Perdana Menteri sementara’ memandangkan istilah itu dikatakan tidak dipersetujui oleh DAP, PPBM dan PAN kerana dianggap boleh menimbulkan masalah bagi mendapatkan sokongan rakyat.

Melalui perancangan Pakatan Harapan menjadikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara, adakah ia bermakna sekali lagi Dr. Wan Azizah yang dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kini menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh akan ‘dikorbankan’ bagi memberi laluan kepada suaminya bertan­ding di kawasan berkenaan, jika beliau berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu dalam PRU-14 nanti?

Tindakan itu jika berlaku akan mengulangi apa yang terjadi empat bulan selepas PRU-12 pada 2008 apabila Wan Azizah mele­takkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh pada 31 Julai 2008 untuk membolehkan Anwar kembali ke Parlimen dengan bertanding di kawasan berkenaan.

Ia sekali gus mewujudkan persoalan, jika Wan Azizah berundur sebagai Timbalan Perdana Menteri, adakah terdapat sebarang ‘syarat’ daripada Dr. Mahathir supaya anaknya, Datuk Seri Mukhriz dilantik menduduki jawatan berkenaan apabila beliau bersetuju melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar?

Tetapi persoalan lebih besar daripada itu ialah melalui perancangan Pakatan Harapan dengan menjadikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara ia membuktikan pakatan tersebut mempertaruhkan kestabilan politik dan masa depan negara semata-mata mahu menumbangkan BN dan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia kerana seperti mana kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di Jelebu hari ini, situasi seumpama itu akan mewujudkan ketidakstabilan politik dan akan mengakibatkan pelabur asing enggan melabur di negara ini kerana bimbang dengan pertukaran pemimpin yang mungkin berlaku.

Namun Dr. Mahathir dilihat seolah-olah tidak mempedulikan soal itu, apabila dalam sidang akhbar selepas konvensyen tersebut menyatakan, “Apa yang pen­ting sekarang ialah menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.’’

Pemilihan Dr. Mahathir juga dilihat membuktikan pengaruh DAP sebagai parti paling dominan dalam Pakatan Harapan. Ia di­sebabkan walaupun sejak tahun 2012, parti itu konsisten mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri tetapi segala-galanya berubah dengan kehadiran Dr. Mahathir.

Keputusan memilih Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan juga dikatakan boleh memberi petaka politik kepada pakatan tersebut memandangkan ada dalam kalangan pemimpin dan ahli itu berpendapat, bekas Perdana Menteri itu tidak seharus­nya dipilih berdasarkan pelbagai tindakan politik beliau ke atas parti-parti pembangkang ketika berkuasa.

Selain itu, walaupun Dr. Mahathir hari ini menyatakan isu moral Anwar adalah sejarah namun mereka tidak yakin Dr.Mahathir akan melepaskan jawatan berkenaan dengan begitu mudah memandangkan sehingga ke hari ini beliau tidak pernah menarik balik kata-katanya bahawa Anwar tidak layak menerajui negara kerana masalah moral.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*