Dineshwaran : Pemimpin Muda MIC Yang Konsisten Dan Dekat Dengan Rakyat

Share This:

Pemberian bantuan peralatan menangkap ikan kepada komuniti nelayan di Port Dickson serta sentiasa turun padang beramah mesra dengan pekerja ladang di daerah Port Dickson membuatkan Penasihat Putera MIC Teluk Kemang, Dineshwaran T Rajagopalu begitu dekat dengan golongan yang memerlukan di Port Dickson.

Penulis yang mengenali beliau dapat mengetahui beliau adalah seorang pemimpin yang begitu komited dalam mendekati penduduk dan mendengar masalah mereka hampir setiap masa untuk membantu mereka mencari jalan penyelesaian meringankan masalah mereka.

Dineshwaran merupakan anak kepada Datuk T Rajagopalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang dan juga ADUN Port Dickson serta merupakan bekas Ketua MIC Negeri Sembilan selama 10 tahun dan pernah dilantik sebagai Setiausaha Agung MIC pada 30 Mei 2010 oleh Presiden MIC pada masa itu, Tun Samy Vellu.

Di Port Dickson, terdapat kira-kira 20 keluarga dengan kira-kira 115 orang menjadikan komuniti nelayan antara komuniti mustahak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Port Dickson yang perlu diberikan perhatian serius.

Nelayan seperti Hishamuddin Abd Manap, Ismail Awang, Zaidi Malik, Abdul Manan adalah merupakan mereka yang diberikan bantuan dari segi pemberian alatan menangkap ikan dan perangkap ketam untuk membantu mereka meningkatkan lagi tangkapan seterusnya pendapatan seharian.

Dineshwaran yang juga Ketua Putera MIC Bahagian Rasah, sempat pada 2 November 2017 lalu, membantu Zaidi menjual ikan sejuk beku dari rumahnya dan turut membantu hari pertama beliau membuka perniagaannya.

“Saya berjaya membuka perniagaan ini dengan bantuan dan usaha dari pada beliau yang memberikan peralatan menangkap ikan dan ketam kepada saya sehingga saya berjaya meningkatkan hasil tangkapan yang amat penting untuk kami sekeluarga.

“Kesudian Dineshwaran datang ke rumah saya dan sama-sama bantu saya pada hari pertama perniagaan saya amat saya hargai dan alu-alukan,” kata Zaidi.

Bagi masyarakat nelayan di sana, penulis yang bertanyakan mereka berkenaan Dineshwaran mengundang pelbagai reaksi positif serta senang hati dengan cara beliau berhubungan dengan penduduk di setempat.

Dengar Masalah Penduduk

Bukan masalah nelayan sahaja, penulis juga amat kagum apabila Dineshwaran membahagikan sebahagian besar masanya untuk mendengar masalah apa pun berkaitan rakyat khususnya di Port Dickson. Antara yang menjadi perhatian utamanya ialah mereka yang memerlukan bantuan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bukan mudah ada pemimpin apatah lagi yang muda seperti beliau untuk membahagikan masa untuk rakyat kerana kebanyakan pemimpin muda lebih memberi fokus merebut jawatan dalam parti dari berbakti untuk rakyat.

Wakil media dan penulis pernah mengikuti lawatan beliau membantu Shaiful Sheran pada 4 Oktober 2017 lepas untuk mendapatkan bantuan pencen ilat dari agensi PERKESO dan beliau nampak begitu bersungguh-sungguh mahu membantu.

Dineshwaran turut membantu Encik Alex berkenaan PERKESO untuk bantuan dialisis dan pencen berkurang.

“Syukur ada pemimpin muda yang sudi hadir dan bantu saya, lebih syukur pemimpin dari MIC yang tidak mengira latar belakang kaum atau fahaman politik, saya amat berterima kasih kepada Dineshwaran kerana memang amat prihatin dengan keadaan saya,” kata Shaiful.

Dineshwaran sebelum ini ada mengedarkan Netbook 1Malaysia kepada lebih 20 keluarga India untuk ahli keluarga mereka yang melanjutkan pelajaran di universiti. Beliau ada menyerahkan Netbook berkenaan kepada Puan Sangunthala untuk kegunaan anaknya yang melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan.

Turut Bersama-Sama Perdana Menteri Isu Baitulmaqdis

Pada 22 Disember yang lepas, Dineshwaran memperlihatkan sifat kepimpinannya apabila hadir di Masjid Putra, Putrajaya bersama-sama kira-kira 5,000 umat Islam memberi sokongan bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tentang pendirian Malaysia yang membantah keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Bagi beliau, fahaman politik atau agama tidak penting sebaliknya sebagai rakyat Malaysia, Dineshwaran menunjukkan semangatnya hadir selepas solat Jumaat di masjid berkenaan bersama-sama beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti lain.

Penulis pada masa itu berasakan Dineshwaran yang masih begitu muda tetapi prinsip dalam menyokong sesuatu pendirian kerajaan sudah amat kuat apabila teguh bersama-sama Najib pada hari berkenaan membantah keputusan Amerika.


Pada 6 Disember lepas, Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa negara Uncle Sam itu mengiktiraf Baitulmaqdis atau Jerusalem sebagai ibu negara Zionis itu serta mahu memindahkan kedutaaan AS di Tel Aviv ke Jerusalem. Ia sekaligus mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Dineshwaran Pemimpin Muda Kotakan Janji Dan Mengutamakan Rakyat

Sejak mengikuti Dineshwaran, penulis melihat beliau sudah menziarah lebih 150 buah rumah dan melawat hampir 800 orang kerana hampir setiap rumah yang dilawati didiami kira-kira lima orang dalam satu rumah.

Pada setiap kali lawatan Dineshwaran akan memberikan bantuan barangan keperluan harian, dan ada sesetengah keluarga diberikan bantuan barang keperluan setiap bulan.

Atas usaha Dineshwaran, rumah seorang penduduk yang sudah usang di Kampung Paya berjaya dibaiki selepas menerima dana daripada Tabung Menteri Besar Negeri Sembilan untuk membantu.

Ia terbukti Dineshwaran merupakan seorang pemimpin muda yang benar-benar lakukan apa yang perlu dilakukan oleh seorang pemimpin kepada penduduk dan rakyat iaitu melakukan lawatan turun padang serta selesaikan masalah tidak kira waktu atau musim apabila hampir dengan Pilihan Raya Umum (PRU) sahaja.

Difahamkan, beliau pernah membawa masalah yang dirujuk oleh Ketua Kampung Air Meleleh Tuan Haji Osman yang meminta jalan serta longkang diperbaiki di bawah kepada pengetahuan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk perhatian.

Paling utama Dineshwaran dalam setiap lawatan beliau menyampaikan inisiatif kerajaan negeri melalui Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan dan inisiatif kerajaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak khususnya berkaitan pelaksanaan Bajet 2018 tahun ini.

Blog Jadi Platform Berkongsi Aktiviti Dengan Rakyat

Seperti Najib, Dineshwaran menggunakan platform media sosial dengan blog rasminya, rdineshwaran.blogspot.my di mana beliau berkongsi aktiviti beliau bersama rakyat dan pendapatnya dalam menjadikan Malaysia negara yang lebih baik untuk rakyat.

Dengan tajuk blog “Walk The Talk : Together We Work For The Community, Together We Progress”, Dineshwaran amat telus dalam menyempurnakan tanggungjawab politiknya sebagai pemimpin muda dalam MIC dan beliau sudah bersedia untuk menggalas tugas yang lebih mencabar mengikut teladan kepimpinan bapa beliau di kawasan itu.

Selain blog, Dineshwaran turut berkongsi aktiviti di laman media sosial Facebook, dan Twitter serta beliau amat mudah untuk dihubungi pada bila-bila masa oleh rakyat yang memerlukan.

Setiap aktiviti politik, Dineshwaran dilihat amat kuat memegang tinggi semangat MIC dan BN serta komited dalam memperjuangkan isu rakyat tidak kira bangsa India atau apa bangsa sekalipun demi menjadikan kehidupan rakyat Malaysia menjadi lebih baik.

Penulis dapat melihat, bagi dirinya, beliau akan terus setia bersama BN dan Najib serta akan terus menyokong kerajaan dalam memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat.

Rata-rata, orang ramai yang mengenali Dineshwaran sebagai pemimpin di kawasan DUN Port Dickson amat yakin beliau akan menjadi pemimpin yang disegani serta begitu dekat di hati rakyat.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*