Harga Tiket Feri Ke Langkawi Kembali Kepada Harga Asal

Share This:

Harga tiket feri Langkawi kembali kepada harga asal selepas caj pengurusan sebanyak RM3 yang diperkenalkan semalam ditarik semula hari ini selepas mendapat bantahan dari pelbagai pihak.

Tinjauan Bernama di jeti Kuala Kedah di sini pagi tadi mendapati harga tiket bagi dewasa telah kembali dijual pada harga RM23 berbanding RM26, manakala bagi kanak-kanak RM17 berbanding RM20 semalam.

Dalam pada itu, harga tiket bagi warga emas kembali kepada harga asalnya RM23 selepas tempoh promosi sebanyak RM17 tamat.

Zaiton Abdullah, 54, berkata penarikan caj pengurusan itu melegakan banyak pihak dan berharap ia kekal bagi menggalakkan aktiviti pelancongan di pulau peranginan itu.

“Saya tidak setuju jika naik sebab saya datang dari Sik dah kena bayar RM9.80 untuk ke jeti ini, bila tiba di Langkawi kena bayar lagi RM26,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Asmah Ishak, 55, berkata beliau bersyukur apabila harga tiket kembali kepada harga asal hari ini.

Kata Asmah, ia menjadi beban apabila melibatkan ahli keluarga yang ramai menyebabkan industri pelancongan boleh terjejas.

“Semalam saya kena bayar sampai RM26, tapi kerana ada tugas yang nak dibuat di Langkawi, saya pergi juga,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Yusrizal Yusoff berkata, selepas kenaikan harga tiket semalam, pihaknya menerima lebih 100 aduan berhubung perkara itu,

“Kita menyambut baik langkah yang diambil operator feri menarik semula caj pengurusan itu… bagi saya adalah tidak wajar untuk mengenakan caj tersebut dengan alasan untuk menggalakkan pembelian tiket dalam talian.

Menerusi harga tambang baharu itu semalam, penumpang yang membeli tiket melalui kaunter dari Kuala Kedah kini perlu membayar RM26 bagi dewasa (harga lama RM23) dan RM20 bagi kanak-kanak (lama RM17) dan dari Kuala Perlis ke Langkawi pengguna dikenakan RM21 untuk dewasa (lama RM18) dan RM16 bagi kanak-kanak (lama RM13).

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*