Hutang Isi Rumah Di Malaysia Menurun

Share This:

Satu perkembangan yang baik apabila diberitahu hutang isi rumah di negara ini sudah susut berdasarkan peratusan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kini merekodkan 84.6 peratus setakat September lepas berbanding 88.4 peratus pada 2016, sekaligus menunjukkan peningkatan ekonomi pada tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata peningkatan ekonomi itu turut disokong dengan Malaysia memiliki pasaran tenaga kerja yang baik serta gaji minimum ditetapkan meningkat tahun depan, selain kadar pengangguran rendah pada 3.4 peratus setakat Oktober 2017.

“Pada akhir September 2017, pertumbuhan KDNK adalah 5.9 peratus mengatasi pertumbuhan hutang pada 4.9 peratus.

“Ini bermakna kita mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna untuk membayar pinjaman,” katanya kepada BERNAMA.

Salleh berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2017 disokong oleh unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang disemak semula daripada 4.5 peratus kepada 4.8 peratus.

“Pertumbuhan itu dijangka kekal kukuh dengan unjuran 5.2 peratus pada 2018 oleh Bank Dunia,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan berterusan itu bukan sekadar perangkaan malah diperakui oleh institusi kewangan antarabangsa dan kebanyakan firma penyelidikan global.

“Bagaimanapun, bagi kerajaan, kita amat menyedari keperluan untuk membantu khususnya kumpulan berpendapatan rendah dan telah melaksanakan pelbagai dasar.

“Klinik 1Malaysia untuk rawatan kesihatan hanya RM1. Subsidi bersasar menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membantu mengurangkan beban kos, bantuan buku untuk murid sekolah kumpulan pendapatan rendah, pemansuhan tol di kawasan bandar, mengekang kenaikan kos tenaga dengan mengekalkan tarif elektrik, serta sejumlah besar program untuk menyokong usahawan mikro serta pendidikan percuma selama 12 tahun persekolahan,” katanya.

Salleh berkata dasar cermat telah meletakkan Malaysia pada tahap hari ini dan kesinambungannya adalah perlu untuk meneruskan trajektori ekonomi negara.

“Masa depan pastinya cerah dan ia akan kekal selagi kita yakin ia akan sedemikian. Kita akan capai apa yang kita harapkan,” katanya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*