Apa Sahaja Yang Berkaitan Keperluan Hidup, Semua Mahu Berkira

Share This:

Memasuki minggu terakhir cuti penggal persekolahan, pastinya ianya menjadikan ibu bapa kepada anak-anak yang masih bersekolah sebagai minggu paling sibuk.

Manakan tidak, semua persiapan persekolahan anak seperti baju seragam sekolah, buku-buku dan kelengkapan anak harus di persiapkan sebelum sesi persekolahan tahun 2018 membuka tirainya pada 3 Januari tahun hadapan.

Disebalik kesibukan ibu bapa menguruskan hal persekolahan anak, pastinya akan timbul pelbagai rungutan di kalangan ibu bapa dan penjaga tentang kos penyediaan persekolahan anak yang agak mahal. Malah, ada diantaranya mula mencipta fitnah liar kononnya pihak sekolah mengenakan caj tambahan terhadap ibu bapa.

Hakikatnya, sejak sistem pasaran terbuka mula diamalkan, tidak ada satu pun barang yang mengalami penurunan harga. Saban tahun, harga barangan pasti akan meningkat sesuai dengan zaman dan keadaan semasa. Ini adalah fakta dan semua pihak harus mengakuinya.

Mengambil contoh persiapan persekolahan anak, sejak tahun 2012, semua yuran persekolahan telah di mansuhkan. Ini termasuklah yuran mengambil sebarang peperiksaan, yuran pra sekolah dan macam-macam yuran yang dahulunya cukup menekan kedua ibu bapa dan penjaga.

Satu lagi contoh yang mungkin kita boleh saksikan betapa teruknya segelintir rakyat Malaysia ini merungut dan berkira adalah, barangan keperluan asas termasuklah harga runcit petrol dan diesel.

Bayangkan, jika ada sesuatu isu membabitkan harga beras, hampir kesemua orang memainkan isu beras termasuklah harga beras itu sendiri. Bagi petrol pula, sepeti sudah menjadi acara wajib mingguan, setiap hari Rabu, akan timbullah “zombie-zombie” yang akan terpekik terlolong di dalam media sosial memperkatakan isu minyak sekiranya harga runcit komuditi berkenaan naik.

Apa yang diperhatikan, mereka yang cukup gemar merungut ini hanyalah di dalam media sosial. Tidak dapat dipastikan samada mereka ini benar-benar susah ataupun hanya mahu mencari populariti murahan demi mengejar “like” ataupun “share”.

Dari apa yang diperhatikan, kesemua mereka ini hanya merungut pada sesuatu yang sebenarnya sudah lama diselesaikan oleh kerajaan. Mana ada negara di dunia ini yang mampu memastikan harga barangan keperluan asas mampu berada di tahap minimum dengan kadar upah yang tinggi? Itu sudah menjadikan ekonomi sesebuah negara itu tidak seimbang dan memungkinkan kenaikan inflasi.

Kita seharusnya bersyukur kerana kerajaan yang ada pada hari ini cukup prihatin dengan masalah dan keperluan rakyat. Malaysia adalah satu-satunya negara yang memberikan pendidikan pada tahap yang paling murah dan berkualiti. Malah, Malaysia juga adalah satu-satunya negara yang menyediakan perkhidmatan kesihatan paling murah di dunia.

Malaysia juga adalah satu-satunya negara yang masih menyediakan subsidi apungan terhadap banyak barangan keperluan asas. Paling menarik, disaat pembangkang hebat menuduh GST sebagai punca kenaikan harga barang, Malaysia adalah negara yang mengenakan caj GST paling rendah di dunia.

Tidakkah kita menyedari bahawa segala nikmat ini telahpun disediakan oleh kerajaan untuk dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira apa jua fahaman politik? Adakah masalah mereka yang tidak tahu erti bersyukur ini akan selesai apabila memuat naik status rungutan mereka di laman media sosial?

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*