PDRM Akan Panggil Tan Sri Isa Samad Minggu Depan

Share This:

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk memberi keterangan pada minggu depan berhubung isu pemindahan hak milik tanah agensi berkenaan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata ketika ini PDRM hanya mengambil keterangan daripada saksi-saksi lain terdiri daripada pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Felda serta Pejabat Daerah dan Tanah.

Apa yang penting ialah keterangan daripada pengadu itu sendiri yang membuat laporan polis pada 12 Dis lepas. Mungkin esok atau lusa, PDRM akan mendapatkan percakapan daripada pengadu apabila pengadu tiba di Kuala Lumpur.

Kita akan tengok dan kita akan dapat segala dokumen berkaitan bagaimana keputusan dibuat dan sebagainya, sudah tentu kita tahu memang Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Felda (ketika itu) dan dia ada kaitan dengan keputusan untuk melabur, katanya pada sidang media selepas hadir

Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan PDRM di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, di ibu negara, hari ini.

Noor Rashid berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420/471 Kanun Keseksaan kerana penipuan dan pemalsuan dokumen.

Beliau berkata PDRM akan menganalisis segala rakaman percakapan dan dokumen yang diperoleh sebelum melengkapkan siasatan dalam tempoh terdekat ini.

Jumaat lepas, PDRM menubuhkan pasukan khas untuk menjalankan siasatan berhubung kes kehilangan hak empat bidang tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Mohd Isa menjadi Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017 dan menjadi Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Jan 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

Pada 21 Dis lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Sementara itu, majlis pemakaian yang diadakan di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman menyaksikan pegawai dan anggota polis dinaikkan pangkat antaranya Ketua Penolong Pengarah E6 Cawangan Khas Datuk Mohamed Farid Abu Hassan bertukar menjadi Timbalan Pengarah E1 Bukit Aman dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Pahang Datuk Jamaludin Kudin menjadi Timbalan Ketua Polis Pahang baharu.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*