Mereka Dakwa Kos Semakin Menekan, Hakikatnya…

Share This:

Apabila dunia memasuki era milenium, segala keperluan hidup sedikit demi sedikit semakin meningkat. Jika dahulunya kita boleh menikmati harga barangan pada kos yang murah, namun hari ini, kita akan dapati kos untuk mendapatkan barangan keperluan semakin meningkat. Di kala ini, ramai telah menzahirkan rungutan mereka terhadap apa yang sedang berlaku hari ini.

Perlu diingatkan, sejak manusia tahu menjalankan urusniaga di pasaran terbuka, tidak ada satupun harga barangan semakin murah. Semuanya semakin meningkat dan sebagai imbalannya, upah yang diterima juga semakin hari semakin meningkat.

Sebagai contoh, seorang kerani di sektor perbankan, pada sekitar tahun 1996 menerima gaji asas sebanyak RM 638 yang belum lagi ditolak KWSP dan Perkeso. Hari ini, gaji permulaan buat pekerja di sektor perbankan dikhabarkan bermula dari angka RM 1,500. Lihat, terdapat perbezaan kira-kira RM 900 disitu dan bukanlah suatu perkara yang menghairankan apabila kos barangan juga turut meningkat.

Di dalam kalangan mereka yang menjadikan media sosial sebagai tempat melahirkan rungutan mereka, terdapat segelintir artis yang turut sama merungut akan kenaikan kos sara hidup hari ini. Nama-nama seperti Adibah Nor, Shiela Majid, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nur Fathia, Datuk Farid Kamil, Datuk Alif Syukri dan ramai lagi menjadikan media sosial seperti Facebook dan Twitter sebagai medan untuk mereka meluahkan perasaan.

Mungkin bagi peminat mereka, apa yang diperkatakan oleh mereka itu ada benarnya dan penulis sendiri tidak menafikan memang terdapat kenaikan kos sara hidup. Namun, mereka terlupa bahawa, segala rungutan mereka sebenarnya telah diambil maklum oleh kerajaan dan kerajaan sentiasa merangka jalan terbaik untuk membantu rakyat dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

Apa yang menghairankan, bagi golongan artis ini, rungutan mereka tidak seimbang dengan gaya hidup yang mereka pamerkan menerusi beberapa status yang dimuat naik menerusi media sosial temrasuk Instagram. Lihat sahaja bagaimana Nur Fathia yang dikenali sebagai seorang yang cukup kuat merungut, kelmarin menayangkan sebuah kereta Mercedes Benz yang mungkin sudah menjadi miliknya.

Begitu juga dengan Alif Syukri yang sebelum ini ada menimbulkan sedikit kontroversi apabila mendakwa kos membeli barang dapur cukup mahal. Hakikatnya, kediaman dan kenderaan yang dimilikinya hari ini, tidak semua orang mampu menggunakannya. Malah, terkini, dia menayangkan pula sepasang selipar berjenama mahal yang hanya digunakan untuk pergi ke pasar. Adakah ini gambaran kesempitan hidup?

Dalam sektor hiburan, Ahmad Idham bukanlah nama asing yang kerap menyalahkan pihak lain atas kegagalan filem arahan atau terbitannya. Lihat sahaja bagaimana dia menunding jari kepada keadaan ekonomi semasa negara sehingga menyebabkan filem arahannya, Pencuri Hati Mr Cinderella gagal di pawagam.

Hakikatnya, filem Abang Long Dil, J Revolusi dan Tumbiruo : Penunggu Rimba memperolehi kutipan yang mencecah angka jutaan Ringgit semasa ditayangkan. Adakah ini lambang kepada kelembapan ekonomi seperti yang cuba di gambarkan oleh Ahmad Idham? Lihat pula bagaimana filem Jumanji, Star Wars, Ferdinand dan banyak lagi filem asing yang majoritinya mengutip jumlah kutipan menceecah angka jutaan Ringgit hanya untuk pasaran Malaysia sahaja.

Inilah realiti yang cuba mereka mainkan di laman sosial milik mereka. Tidak ada sesiapa melarang mereka dari meluahkan apa yang mereka rasa kerana itu adalah hak kebebasan bersuara. Namun, sebagai “public figure” mereka seharusnya tahu bahawa apa yang mereka luahkan pasti akan meraih perhatian masyarakat.

Seandainya mereka meluahkan sesuatu yang sama sekali tidak benar dan berunsur politik, bukan mengejutkan apabila ramai yang membanjiri ruang komen mereka untuk menghentam. Malah, bebelan mereka itu sebenarnya boleh dianggap sebagai hipokrit kerana hakikat sebenar kehidupan mereka, tidak semua orang biasa dapat kecapi walaupun mereka berusaha sepanjang hayat.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*