Bayi Baru Lahir Dijumpai Di Dalam Kotak Bersama Sekeping Nota

Share This:

 

Seorang bayi lelaki baru lahir dijumpai di dalam kotak di sebuah rumah di Jalan Selasih, Kampung Kurnia Jaya, Kamuting, Taiping, hari ini.

 

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Supt Razlam Ab Hamid berkata, bayi seberat kira-kira 2.5 kilogram itu ditemukan di tepi pasu bunga di hadapan rumah seorang wanita pada 2.15 pagi.

 

Beliau berkata anak wanita itu, yang baru pulang ke rumahnya, terdengar tangisan bayi berkenaan sebelum menjumpainya dalam keadaan dibalut dengan kain langsir berwarna hijau dan diletakkan di lantai.

 

“Saksi itu mendapati uri bayi itu turut dibalut bersama kain itu lalu dia menghubungi talian kecemasan 999 sebelum ambulans membawa bayi itu ke Hospital Taiping,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata kewarganegaraan bayi itu belum dapat dikenal pasti dan dia dilahirkan cukup bulan.

 

Razlam berkata pihaknya turut menemui sekeping nota yang ditinggalkan bersama bayi lelaki itu.

 

Menurut nota itu: “Tolong jaga anak ini baik-baik, maaf sebab saya terpaksa buang dia. Harap mak cik dan pak cik tolong jaga sebagai keluarga kandung. Saya tidak dapat menjaga dia, saya datang dari jauh dengan harapan inginkan kebaikan kepada anak saya, biar dia hidup bahagia dan jangan kutuk serta hina dia anak haram. Tolong jaga dia.”

 

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 319 Kanun Keseksaan.

 

-Bernama

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*