Terengganu Rancang Wujudkan Sebuah Lagi Kolej Al-Quran

Share This:

Kerajaan negeri Terengganu merancang mewujudkan sebuah lagi Kolej Al-Quran bertempat di tapak Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Kuala Berang, Hulu Terengganu tidak lama lagi.

 

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata rundingan sedang giat dilakukan bagi membeli tapak KIST itu.

 

“Seperti yang diluluskan dalam Bajet Terengganu baru-baru ini bahawa kerajaan akan mewujudkan satu lagi pusat pengajian Al-Quran bagi pengajian taranum untuk tajwid.

 

“Di situ juga kita akan adakan program Asyahadah-Aulia bagi menempatkan pelajar yang sedang belajar di Imtiaz Besut, setelah mereka menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan perlukan pengajian lanjutan,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian Anugerah Sarjana Yayasan Terengganu 2017 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarahnya Hishamuddin Hashim.

 

Ahmad Razif berkata Institut Al-Quran (IQ) di Padang Midin pula akan kekal sebagai Maahad Tahfiz dan dalam perancangan untuk menjadikannya Universiti Al-Quran.

 

Sementara itu mengenai Program Anugerah Sarjana Yayasan Terengganu, Ahmad Razif berkata ia telah bermula sejak 2008 melibatkan seramai 1,427 pelajar sebagai insentif serta pengiktirafan kepada pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda yang mendapat keputusan Kepujian Kelas Pertama.

 

Katanya, bagi Anugerah Ijazah Sarjana Muda Iktisas (profesional) termasuk bidang kedoktoran dan kejuruteraan, mereka yang layak diberi insentif sebanyak RM5,000 seorang, manakala bukan iktisas (seperti bidang pendidikan) sebanyak RM3,000 seorang.

 

Beliau berkata bagi tahun ini, seramai 200 pelajar di institut pengajian tinggi diberi insentif tersebut melibatkan peruntukan kira-kira RM672,000.

 

Perbelanjaan untuk program anugerah itu dari 1998 hingga 2017 berjumlah RM5.4 juta.

— BERNAMA

 

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*