Tiga Beradik Maut Nahas Ngeri Selepas Hantar Ibu Bapa Mengerjakan Umrah

Share This:

Kemalangan maut  tiga adik-beradik di Kampung Batu Putih, awal pagi tadi sangat menyayat hati apabila perjalanan tiga adik-beradik selepas menghantar ibu bapa mengerjakan umrah berakhir tragedi, apabila ketiga-tiganya maut dalam kemalangan.

 

Menurut sumber, mangsa dikenali Wan Nor Afifah Wan Mohd Kamaruzzaman, 28, Wan Nor Athirah, 27, dan Wan Mohd Mahathir, 14.

 

Mangsa cedera dalam kemalangan itu pula ibu saudara mereka, Salma Ibrahim serta anaknya, Nurul Aliyani Zawawi yang dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

 

Ibu saudara mereka yang hanya mahu dikenali sebagai mama, berkata kelima-limanya dalam perjalanan pulang dari Melaka, ke rumah mereka di Kampung Padang Lalang Binjai, Kemaman, Terengganu.

 

Khamis lalu, katanya, mereka menghantar ibu bapa serta adik perempuan mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan terus ke Melaka untuk melawat saudara.

 

“Saya mendapat tahu mengenai kejadian ini, kira-kira jam 7 pagi selepas dihubungi oleh Nurul Aliyani yang dapat keluar daripada kenderaan mereka yang termasuk ke longkang besar di tepi jalan. Dia beritahu kejadian berlaku kira-kira jam 5.45 pagi.

 

“Dia beritahu saya, tiga adik beradik itu sudah meninggal dunia dan dia hanya dapat keluar selepas dua jam bergenang dalam air. Ibunya (Salma) dapat dikeluarkan tidak berapa lama selepas itu.

 

“Luluh hati saya sebaik mendengar berita itu. Tidak tahu macam mana hendak beritahu ibu bapa mereka yang sedang mengerjakan umrah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HTAA di sini, pagi tadi.

 

Manakala, jurucakap Bilik Gerakan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

 

Mengikut maklumat awal diterima daripada ahli keluarga, ibu bapa kepada mangsa dikenali Wan Kamaruzzaman dan Rosnani Ibrahaim manakala adik perempuan dikenali, Wan Nor Aqilah yang sedang mengerjakan umrah.

 

Namun ibu bapa mangsa, Rosnani Ibrahim dan Wan Kamaruzzaman Wan Mohamad, serta adik perempuan, Wan Nur Aqilah sudah dimaklumkan menerusi ejen pengurusan umrah mengenai kejadian tersebut dan redha menerima berita sedih itu ketika melakukan tawaf umrah.

 

Mereka memutuskan untuk kembali ke Malaysia bagi melihat insan tersayang mereka buat kali terakhir.

 

Menurut salah seorang daripada ahli keluarga mangsa yang dikenali sebagai Basir, ejen pengurusan umrah berkenaan memberitahu ketiga-tiga mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 11 pagi esok dan dibawa terus ke Kemaman.

 

“Jenazah tiga beradik berkenaan dibawa ke Hospital Kemaman malam ini untuk disimpan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kapur, Binjai. Bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sudah selesai sebentar tadi,” katanya.

 

 

 

 

 

 

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*