Pendirian Malaysia Tentang Baitulmaqdis Tetap Teguh Konsisten Sampai Bila-Bila – PM

Share This:

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa pendirian Malaysia akan terus teguh dan konsisten menolak sampai bila-bila pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Amerika Syarikat (AS) yang dibuat pada 6 Disember lepas.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis hari ini di Masjid Putra, Putrajaya bersama-sama kira-kira 7,000 orang umat Islam yang hadir perhimpunan berkenaan selepas Solat Jumaat.

Najib menyatakan demikian sebagai perkara utama dalam tiga pendirian Malaysia tentang isu itu yang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

“Saya kata bahawa pendirian kita tegas dan konsisten. Kita menyokong usaha berterusan penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas dan berdaulat.

“Kita juga kata bahawa negara Palestin yang berdaulat mestilah kembali kepada persempadan 1967, kita tidak mahu Palestin yang semakin menguncup, itu bukan Palestin yang kita tuntut, kita tuntut Palestin yang berdaulat lagi bermaruah.

“Kita mahu Jerusalem (Baitulmaqdis) Timur sebagai ibu negara Palestin, tiga perkara ini kita tidak akan berganjak, buat apa sekalipun kita tak akan berganjak,” kata Najib.

Beliau turut memetik Khutbah yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang menyampaikan satu bidalan yang begitu bermakna yang melambangkan perjuangan orang Islam dalam isu Israel dan Baitulmaqdis ini.

“Kalau kerat berapa kali badan saya pun, sampai tinggal seketul daging pun saya masih berpegang pada prinsip ini,” kata Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO.

Dalam himpunan hari ini, PAS diwakili oleh anak kepada Presiden iaitu Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan beliau turut berucap menyuarakan sokongan kepada pendirian kerajaan berkaitan itu iaitu untuk menolak pengumuman AS itu yang terang-terang menghina agama Islam dan terus menindas penduduk-penduduk Palestin.

Ucapan Najib disambut oleh laungan takbir oleh orang ramai yang hadir menyuarakan sokongan kuat mereka kepada Najib. Turut hadir dalam himpunan itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia turut dihadiri ramai pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bukan Islam termasuk Kristian bersama-sama Najib dalam program berkenaan.

Menurut Perdana Menteri, perhimpunan itu adalah mesej yang jelas dan tegas kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Presiden Donald Trump yang turut akan memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis dari Tel Aviv.

Dalam ucapan beliau, Najib menegaskan bahawa walaupun Donald Trump adalah kenalan baik beliau, beliau tidak akan sekali-kali menggadaikan prinsip dan kepercayaannya dalam agama Islam kerana prinsip pertama dalam Maqassid Syariah ialah menjaga dan memelihara agama.

“Ya, Donald Trump kenalan baik saya, tapi dari segi prinsip, walaupun apa sekalipun saya tidak akan menggadaikan kesucian Islam,” katanya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*