TFC II Sasar Kelompok Lima Terbaik

Share This:

KUALA TERENGGANU: Terengganu Football Club II (TFC II) sasar kedudukan kelompok lima terbaik dalam menghadapi Liga Perdana 2018 yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Pengurus Pasukan TFC II, Mustaffa Kamal Abd Wahab berkata walaupun pasukan dibarisi hampir 70 peratus pemain muda bawah 24 tahun, mereka tetap positif dalam menghadapi saingan nanti.

“Mungkin semua sudah sedia maklum, semua pemain kami dibarisi anak watan Terengganu dan mereka ini insya-Allah mampu memberi cabaran…sembilan orang pemain kami adalah pemain dari Liga Super 2017 T-Team yang masih mempunyai baki kontrak dengan persatuan.

“Empat orang pemain dari Liga Perdana 2017 Terengganu FA dan selebihnya pemain Piala Presiden Terengganu dan T-Team yang melebihi umur 21 tahun,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Tambah beliau, kemasukan pemain import baharu Bruno Junichi Suzuki Castanheira selama satu musim dari Negeri Sembilan akan menambahkan lagi ketajaman terutama di bahagian serangan TFC II.

“Berdasarkan rekod pada aksi Liga Perdana baru-baru ini…dia juga merupakan penjaring terbanyak bagi pasukan Negeri Sembilan.

“Setakat ini kami sudah ada dua pemain import Akanni Sunday Wasiu pemain Nigeria dari UiTM FC dan Suzuki…masih ada dua lagi kuota pemain import yang akan diisi oleh dua pemain dari benua Afrika dan mereka ini belum pernah beraksi dalam liga di Malaysia.

Tambah beliau, TFC II turut menyertai perlawanan pramusim iaitu Kejohanan Piala Menteri Besar Terengganu yang berlangsung di Kuala Terengganu dari 15 hingga 24 Jan depan yang turut disertai Terengganu Football Club I (TFC I), Melaka United dan Pahang. – Bernama

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*