Nampak Tempurung Kepala, Budak Hilang Telinga Diseret Van Ikan

Share This:

Seorang ibu bersyukur apabila anaknya berusia lima tahun selamat walaupun hilang telinga kanan selepas dirempuh dan diseret van muatan ikan, petang kelmarin.

Memetik Sinar Online, kejadian berlaku ketika Mohd Darwisy Mohd Zulkifli sedang bermain basikal bersama rakan-rakan di hadapan rumahnya di Kesedar Paloh 3, Gua Musang.

Difahamkan, ketika kejadian jam 3.30 petang itu, ibu mangsa, Che Norkasmawati Che Nawi, 38, berada di kedai bagi menghantar kuih untuk jualan.

“Saya tinggalkan anak-anak di rumah bersama abangnya dan beberapa orang anak jiran. Pada jam 4 petang, saya pulang dan diberitahu anak saya sudah di hantar ke Klinik Kesihatan Bandar Chiku.

“Jiran saya menyaksikan insiden itu memberitahu, anak saya sedang melintas jalan untuk ke seberang lalu van muatan ikan tidak sempat memperlahankan kenderaan kerana menuruni jalan berbukit.

“Anak saya diseret bersama basikalnya dan mengalami kecederaan parah di bahagian telinga kanan dan kepala sehingga menampakkan bahagian tempurung,” katanya.

Darwisy kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ). Malangnya, doktor memaklumkan telinganya tidak dapat diselamatkan kerana hancur.

“Kulit kepalanya pula terkoyak sehingga menampakkan bahagian tempurung kepala. Mengikut perbincangan doktor, anak saya akan dibawa ke bilik pembedahan untuk menampal semula kulit kepala itu.

“Manakala bahagian telinganya hanya tinggal cuping bawah sahaja. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana anak saya selamat,” ujarnya.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*