LHDN Mempunyai Rangkaian Global Buru “Ikan Besar”?

Share This:

 

MALAYSIA KEHILANGAN HASIL KUTIPAN CUKAI YANG BANYAK AKIBAT PERANCANGAN CUKAI AGRESIF (AGGRESSIVE TAX PLANNING) OLEH SYARIKAT-SYARIKAT MULTINASIONAL. TEKNIK PERANCANGAN CUKAI YANG DIBUAT MENYEBABKAN SYARIKAT MULTINASIONAL TIDAK MEMBAYAR CUKAI DI MANA-MANA NEGARA ATAU MEMINIMUMKAN KADAR CUKAI YANG PERLU DIBAYAR OLEH KUMPULAN SYARIKAT (GROUP OF COMPANIES).
LHDN MEMPUNYAI RANGKAIAN GLOBAL BURU IKAN BESAR.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDNM Datuk Noor Azian Abdul Hamid berkata demi menangani isu pengelakkan cukai oleh Syarikat Multinasional, LHDNM melaksanakan empat strategi utama:

1. Berkongsi maklumat secara automatik dengan negara-negara lain melalui AEOI CRS dan CBCR;
2. Mengetatkan peruntukan undang-undang berkaitan isu percukaian antarabangsa;
3. Meningkatkan kepakaran pegawai dengan menghantar pegawai untuk latihan di dalam dan luar Negara;
4. Pegawai-pegawai kanan akan dipindahkan ke kumpulan audit, dengan tumpuan kepada perniagaan atas
talian serta individu dan syarikat multinasional yang berisiko tinggi untuk mengelak cukai.

Beliau turut berkata bahawa kesilapan pengiraan cukai, tuntutan perbelanjaan yang tidak betul, kegagalan mengisytiharkan pendapatan serta manipulasi undang-undang cukai juga merupakan faktor dalam penurunan kutipan hasil negara. Namun, jika kesemua 4 strategi di atas dilaksanakan dengan baik, semestinya akan membantu meningkatkan kutipan cukai pendapatan.

“Dalam pada itu, dalam kategori ketidakpatuhan, ciri-ciri sebuah syarikat multinasional membolehkan mereka elak cukai dengan lebih mudah dan jumlah ini adalah agak besar, oleh itu usaha pematuhan cukai terhadap syarikat-syarikat multinasional ini menjadi sebahagian besar daripada usaha mengutip kembali cukai pendapatan yang sepatutnya, menjadi salah satu program yang paling berkesan untuk meningkatkan hasil negara.”

Kerjasama rentas sempadan perlu untuk menangani isu syarikat multinasional elak cukai.

MENCEGAH PENGELAKAN CUKAI

Datuk Noor Azian menerangkan bahawa perlakuan beberapa syarikat antarabangsa seperti Starbucks, Google dan Apple mengelak membayar cukai di UK dan US, telah membuka mata pentadbir cukai semua negara.

“Syarikat-syarikat tersebut telah mengalihkan keuntungan tersebut ke negara-negara yang mempunyai kadar cukai yang lebih rendah melalui kelebihan rangkaiannya di seluruh dunia dan akibatnya, mereka tidak perlu membayar cukai langsung di negara asal di mana syarikat menjalankan operasi perniagaannya.

“Walaupun tindakan ini tidak menyalahi undang-undang, namun ia sangat tidak beretika.”

Datuk Noor Azian berkata: “Kami berusaha untuk mengesan sama ada terdapat kes-kes serupa di Malaysia dan akan memastikan bahawa syarikat sebegini membayar cukai yang sepatutnya di Malaysia.

Oleh kerana perlu tangani isu syarikat multinasional elak cukai, sudah tentu LHDN perlukan kerjasama rentas sempadan dengan agensi lain.”

 

SELURUH DUNIA MENGISYTIHARKAN PERANG TERHADAP PENGELAK CUKAI

Akibat globalisasi, aktiviti BEPS semakin berleluasa dan ini menarik perhatian rapat dari pemimpin politik, media dan orang awam di seluruh dunia. Akibatnya, OECD telah melancarkan Pelan Tindakan BEPS pada Jun 2013 dan telah mendapat pengesahan semua pemimpin negara yang hadir pada sidang kemuncak G20 di St Petersburg pada bulan September tahun tersebut.

Datuk Noor Azian turut menegaskan bahawa matlamat utama pelan tindakan BEPS adalah untuk mencapai kata sepakat mengenai undang-undang cukai negara di seluruh dunia, dan bakal menjadi peluang untuk menghalang syarikat-syarikat multinasional mengelak cukai. Selain itu, ia juga untuk memastikan supaya syarikat-syarikat ini membayar cukai yang sewajarnya kepada kerajaan negara terbabit. Kini, negara-negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia telahpun memulakan kerjasama dalam usaha bersama termasuk pertukaran maklumat secara automatic.

“Ini bukan satu tugas yang mudah, dan tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata, LHDNM akan terus memberi nasihat kepada kerajaan untuk memperbaiki undang-undang cukai, tetapi kami juga akan mengambil kira pandangan daripada negara anggota dan undang-undang antarabangsa, sejajar dengan kadar tindakan antarabangsa, dan bukan bertindak dengan sewenang-wenangnya.” beliau menambah. Pemimpin G20 menerima pakej pembaharuan cukai BEPS di sidang kemuncak tersebut.

SYURGA UNTUK PENGELAK CUKAI

Kerajaan Malaysia sudah lama terlibat dengan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang berkaitan hal-ehwal cukai. Paling terkini, Malaysia telah menjadi ahli kepada “Base Erosion and Profit Shifting (BEPS) Inclusive Framework” pada Mac 2017.

Penyertaan Malaysia dalam Pertukaran Maklumat Automatik (AEOI) juga akan dapat meningkatkan kutipan hasil negara. Beliau menjelaskan bahawa dahulu individu-individu mudah memindahkan wang ke akaun bank di luar negara, kerana dasar melindungi privasi data pendeposit, yang mana kerajaan Malaysia tidak mempunyai cara untuk membuktikan kekayaan mereka di negara asing, malahan tiada cara untuk mengaudit akaun dan bertindak mengutip semula cukai yang dilarikan.

“Tetapi mulai tahun depan, bank-bank luar negara akan secara automatik memberikan maklumat berkaitan pemilik-pemilik akaun ini kepada LHDN, dan kami akan menyemak banding dengan maklumat cukai yang dihantar di Malaysia, tindakan selanjutnya akan diambil jika terdapat “keraguan”.

Mulai 1 Januari, 2017, 47 kerajaan, termasuk Switzerland, telah memeterai perjanjian untuk berkongsi maklumat kewangan tahunan secara automatik, termasuk maklumat akaun deposit pembayar cukai, dividen, faedah diterima dan pendapatan, ini bermakna negara Switzerland dan negara-negara lain sepertinya bukan lagi “syurga pengelak cukai.”.

 

MENCABAR FENOMENA ‘PATUH UNDANG-UNDANG TETAPI TIDAK MUNASABAH’

Datuk Noor Azian berkata walaupun syarikat pandai menggunakan ruang-ruang yang ada dalam sistem perundangan cukai supaya perihal pengelakkan cukai tidak beretika kelihatan sah, LHDNM tetap akan mengambil sikap serius dalam menangani syarikat-syarikat yang mengambil langkah perancangan cukai agresif (aggressive tax planning).

Beliau memberi contoh, syarikat e-dagang membeli barangan daripada negara asing, dan menjual barangan melalui kiriman pos ke pelanggan seluruh dunia yang direkrut dari laman web. Disebabkan pelanggan berada di luar negara dan transaksi berlaku dalam talian, pendapatan tidak direkodkan sebagai pendapatan yang diterima di Malaysia.

Oleh demikian, syarikat ini menegaskan bahawa tidak menjalankan perniagaan di negara ini dan tidak tertakluk kepada cukai.”

Kelompongan undang-undang berkaitan e-dagang seperti di atas perlu ditangani dan satu mekanisme terbaik bagi mencukai e-dagang sedang dirangka oleh pihak kerajaan. Potensi ekonomi digital dijangka akan menyumbang kepada 20% KDNK negara, oleh itu perkara ini perlu dilihat dengan serius.

“Selain itu, jika sebuah syarikat multinasional mempunyai kilang di Malaysia, dan mendakwa mengalami kerugian, LHDN tetap akan mencabar keraguan yang “tidak munasabah ” itu dan meminta penjelasan pihak syarikat atas alasan yang diberi, contohnya seperti “jika kilang mengeluarkan barangan, mengapa tidak untung? “ataupun ” jika anda tidak untung, mengapa terus beroperasi?”

 

JANGAN KEJAM TERHADAP MEREKA YANG MEMATUHI UNDANG-UNDANG

Datuk Noor Azian percaya bahawa penyertaan Malaysia dalam Pelan Tindakan BEPS dan rangka kerja AEOI akan meningkatkan keberkesanan LHDNM dalam mengatasi masalah pengelakan cukai. Walau bagaimanapun, beliau tetap berpendapat bahawa perjalanan masih panjang lagi dalam hal kerjasama merentas sempadan, terutamanya dalam penyelarasan sistem cukai.

“Apabila setiap negara mengkaji undang-undang cukai bersama, masing-masing dapat mempelajari dan mengambil iktibar dari satu sama lain. Sebagai contoh, Malaysia boleh mempelajari daripada India bagaimana negara tersebut mencukai transaksi e-dagang, di mana pada masa ini, India merupakan antara negara terawal yang telah memperkenalkan cukai ke atas transaksi e-dagang.’

Dalam pada itu, Datuk Noor Azian juga menyeru para perunding cukai supaya mengelak daripada menjadi penasihat kepada perancangan cukai agresif untuk pelanggan mereka.

Beliau berkata: “Ada syarikat-syarikat multinasional ini telah mengaut keuntungan besar dengan menggunakan tanah, insentif, tenaga kerja dan sumber-sumber lain di Malaysia tetapi tidak bersedia membayar cukai kepada Malaysia, ini tidak adil!”

Beliau mengulas, “Sesebuah syarikat multinasional perlu membayar cukai di mana nilai ekonomi diwujudkan. Jika kami berbelas kasihan terhadap golongan yang mengelak cukai, ini amat kejam terhadap golongan pembayar cukai yang mematuhi undang-undang!”

Antara Skop Pelan Tindakan BEPS:
1. Menghadapi cabaran ekoran ekonomi digital;
2. Mewujudkan satu “standard” antarabangsa bagi menyelarassistem cukai pendapatan
korporat;
3. Membentuk semula perjanjian cukai semasa dan aturan penetapan pindahan harga bagi
menangani isu pengelakkan cukai;
4. Meningkatkan ketelusan dan kepastian cukai;
5. Membangunkan pelbagai alat untuk pelaksanaan pelan tindakan yang lebih efisien.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*