Sejumlah 487 Kes Pencatutan Direkod KPDNKK Untuk Disiasat

Share This:

Sejumlah 487 kes pencatutan direkod Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk disiasat bagi tempoh 15 Jan 2015 hingga 15 Dis tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong berkata dalam tempoh sama, sejumlah 5,135 notis turut dikeluarkan terhadap peniaga di bawah Seksyen 21 Kawalan Harga dan Antipencatutan (Pindaan) 2017.

Katanya langkah penguatkuasaan itu diambil bagi membendung aktiviti peniaga yang mengambil keuntungan tidak munasabah dengan menggunakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai alasan untuk menaikkan harga barang.

“Sehingga kini, 51 kes telah didakwa dan disabitkan kesalahan di mahkamah serta dijatuhkan hukuman dengan denda keseluruhan berjumlah RM904,000 manakala 83 kes dikompaun dengan jumlah keseluruhan RM391,000.

“Kementerian memandang serius dan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas peniaga dan tindakan tegas akan dikenakan sekiranya mereka melakukan kesalahan mencatut di bawah undang-undang yang sedang dikuat kuasa,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan apakah kesan dan tindakan yang diambil terhadap peniaga yang menggunakan GST sebagai alasan untuk menaikkan harga barang sehingga menyebabkan kos sara hidup tinggi.

Henry berkata kementerian melanjutkan penguatkuasaan pencatutan melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah Bagi Barangan) 2016 yang berkuat kuasa pada 1 Jan lalu demi memastikan kepentingan dan hak pengguna dilindungi.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*